Pertemuan Sayap Wanita PBB, Fatimah bincang jentera PRN


KUCHING: Seramai 30 ahli Sayap Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengadakan perjumpaan tertutup dengan Timbalan Sayap Wanita PBB Datuk Fatimah Abdullah.

Pertemuan berlangsung di sebuah hotel di bandar raya Miri itu dihadiri wakil Sayap Wanita Zon Miri iaitu dari DUN Lambir, Piasau, Senadin, Pujut dan DUN Telang Usan.

Fatimah juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, pertemuan tertutup itu antara lain membincangkan persediaan dan strategi Sayap Wanita PBB dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada April ini.

“Sayap Wanita sedia maklum bahawa gendang pilihan raya akan dipalu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam sebulan dua ini.

“Justeru kami harus bersedia awal mengerah keringat dan kudrat membantu Sayap Pemuda PBB dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain bagi menangkis dakyah serta menggempur kubu pembangkang,” katanya.

Jelasnya, parti sedah bahawa tempoh berbulan madu sudah lama berlalu dan kini harus berada pada ‘top gear’ dalam memastikan semua calon PBB terutama dua calon Sayap Wanita beroleh kejayaan.

“Matlamat utama kami membentuk kerajaan baharu jauh lebih stabil, justeru jentera Sayap Wanita harus mengembeling tenaga dan buah fikiran bersama Sayap Pemuda PBB dan parti komponen BN yang lain,” katanya.

Fatimah turut optimis BN mampu mengekalkan kerajaan selepas ini dengan syarat semua pihak harus fokus dengan peranan masing-masing dalam meraih sokongan terutama pengundi muda dan atas pagar.

Sehubungan itu ujarnya, rakyat khususnya pengundi harus memberi kepercayaan sekali lagi kepada BN yang ditunjangi Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk terus mengemudi negeri ini untuk lima tahun lagi.

“Jika anda sayangkan Bumi Kenyalang dan mahu ia maju setanding negeri lain maka pilihan yang kita ada ialah terus memberi kepercayaan kepada BN,” katanya.

“Berilah Adenan sepenggal lagi kerana beliau sangat cemerlang memimpin Sarawak dengan telah melakar lebih 45 pencapaian sekali pun baharu dua tahun memegang tampuk pemerintahan.

“Itu baharu dua tahun, bayangkan untuk lima tahun lagi nescaya kita akan dilimpahi manfaat,” ujarnya dan pencapaian itu tidak termasuk rundingan 13 perkara bersama Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini.

“Jika wujud sebarang pertelingkahan harus ditolak ketepi kerana ia tidak baik untuk kestabilan dan masa depan BN pada keseluruhannya,” katanya lagi.

Hadir sama ke pertemuan tertutup itu ialah ADUN Telang Usan Dennis Ngau yang turut menyaksikan pengagihan Buku Info Bantuan kepada setiap cawangan PBB.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget