9 dari 11 kerusi DUN baru Sarawak milik BN?


Dua badan pendesak pembaharuan pilihan raya, BERSIH 2.0 dan Projek Analisis Daftar Pengundi Malaysia (Merap) mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya memanipulasi pesempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak.

Berdasarkan analisis pola pengundian pada pilihan raya umum 2013, kata mereka, BN mempunyai peluang cerah memenangi sembila daripada 11 kerusi baru yang diwujudkan.

Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah pula berkata, apabila kerusi baru yang 'mesra BN' dibentuk, saiz purata kawasan pilihan raya itu menguncup antara 25 hingga 47 peratus.

"Telah didapati juga, terdapat ketidakseimbangan lebih teruk di setiap kawasan DUN yang jelas melanggar prinsip satu pengundi, satu undi dan satu nilai," katanya.

BERSIH 2.0 dan Merap membuat kenyataan itu selepas membandingkan jumlah undi yang boleh diperoleh di pusat pembuangan undi di 11 kerusi baru dibentuk di Sarawak.

Satu kerusi baru - Batu Kitang - dan satu lagi kerusia sedia ada - Telang Usan - dianggap berpeluang cerah untuk dimenangi pembangkang.

Kajian membayangkan pembangkang berpeluang menguasai 55.5 peratus undi di Telang Usan selepas persempadanan semula itu dibuat.

Tiada usaha tambah baik

Penyelidik Merap, Lee Wee Tak berkata, sembilan kerusi yang dimaksudkan terletak di kawasan luar bandar manakala lokasi yang padat dan di kawasan bandar tidak mendapat pertambahan kerusi.

"SPR hanya membuat persempadanan semula satu daripada 10 kawasan padat pengundi di Sarawak," katanya (gambar).

Dalam pilihan raya negeri 2011, pembangkang hampir menyapu bersih semua kawasan bandar manakala majoriti kerusi luar bandar di kuasai BN.

Kata Maria, sekali lagi SPR dilihat menjuarai kepentingan politik pihak tertentu dan bukan melindungi kepentingan pengundi.

"Oleh demikian, BERSIH 2.0 dan Merap sekali lagi menggesa emua anggota SPR meletakkan jawatan kerana gagal melaksanakan tugas mereka dengan penuh integriti dan telah gagal menikmati kepercayaan umum," katanya.

BERSIH 2.0 dan Merap turut menyatakan kekecewaan mereka kerana SPR masih tidak melakukan sebarang usaha menambah baik perjalanan tugas mereka di sebalik "pelbagai kecurangan telah dilaporkan" sebelum ini.

"Jelas sekali SPR terus gagal secara konsisten. Dengan melantik pengerusi yang baru dari kalangan anggota SPR sendiri, nampaknya tiada usaha dilakukan untuk meningkatkan intergriti dan kebebasan agensi itu," kata kenyataan berkenaan.

Sementara itu Bendahari BERSIH 2.0, Thomas Fann berkata mereka berpendapat seorang pesara hakim wajar dilantik mengetuai SPR dan bukannya tokoh dari dalam organisasi itu sendiri.

"Kumpulan masyarakat sivil akan memerhati dengan teliti pelaksanaan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sabah dan semenanjung," katanya.

SPR dijangka membuat persempadanan semula di Sabah serta Semenanjung Malaysia pada Mei dan proses itu mungkin disiapkan sebelum akhir tahun ini.

"Kami berharap tiada lagi kerusi luar bandar terus dipecahkan," katanya.- Malaysiakini

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget