Jangan main isu sensitif, agama dan perkauman: PAS Sarawak


Isu agama dan bangsa adalah isu yang sensitif bagi sesetengah pihak dan sering dimainkan oleh pihak tertentu dalam media untuk tujuan tertentu. Pihak Media tidak seharusnya menyebarkan isu-isu sensitif yang boleh menyebabkan rakyat berbilang kaum dan agama di negara kita dalam konflik dan pesimis antara satu sama lain.

Kita mengesa semua pihak jangan terlalu percaya dengan berita yang keluar dari media yang ingin melihat perselisihan faham berlaku antara bangsa dan agama dalam negara ini.

Sebelum percaya dengan berita yang diterima dari punca yang belum jelas dan melibatkan isu-isu sensitif, umat Muslim khususnya perlu meneliti dulu berita-berita yang disampaikan oleh pihak tertentu agar ianya tidak merosakan hubungan antara kaum dan agama.

Islam mengajar umatnya agar berhati-hati dalam menerima sebarang berita yang tidak jelas asal-usulnya. Kadang kadang isu kecil diperbesarkan dalam berita yang diedarkan untuk melariskan jualan atau untuk tujuan kepentingan pihak tertentu. 

Sebagaimana Allah berfirman dalam Al Quran, maksudnya: - “Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. [Al Hujurat: 6].

Dalam ayat ini jelas Allah melarang mereka beriman terus percaya kepada berita angin. Allah menyuruh kaum Muslimin memastikan kebenaran berita yang sampai kepada mereka sebelum menerima tanpa usul periksa. Tidak semua berita itu benar, dan juga tidak semua berita yang disampaikan ada faktanya. Ingatlah, musuh-musuh kamu sentiasa mencari kesempatan untuk menjatuhkan kamu. Maka wajib atas kamu untuk selalu berwaspada, hingga kamu boleh kenal pasti orang yang hendak menyebarkan berita yang tidak benar.

Kadang kadang berita itu berkait dengan kehormatan seseorang Muslim. Bagaimanakah sikap kita terhadap berita yang belum tentu ada kebenarannya dan bersumber dari orang yang belum kita ketahui kejujurannya? Mungkin apa yang disampaikan tidak sama seperti yang dilaporkan.

Sepatutnya pihak media memainkan peranan menyatukan kaum yang berbilang bangsa dan agama dalam negara ini. Jangan terlalu suka memainkan isu sensitif yang menyebabkan rakyat berpecah belah. Isu-isu rakyat dan masalah yang dihadapi oleh rakyat sekarang ini perlu diselesaikan dan jangan memainkan isu-isu bangsa dan agama yang boleh menjejaskan perpaduan antara kaum dan agama dalam negara ini.

Baru-baru ini ada pihak yang mencadangkan menyekat atau melarang sesorang dari masuk ke negeri ini sebab mengeluarkan kenyataan yang menyentuh isu penyebaran agama. Mungkin ada salah faham tentang maksud yang hendak disampaikan oleh penceramah tersebut tetapi telah diputar belit oleh pihak tertentu untuk tujuan politik dan sebagainya.

Isu ini tidak perlu diperbesarkan oleh pihak media tetapi boleh ditangani secara berhikmah. Adakah dengan menghalang atau melarangkan seseorang dari memasuki negara atau negeri ini boleh menyelesaikan masalah?

Sekarang zaman langit terbuka dimana sebarang maklumat tidak mudah disekat. Kalau zaman dulu sebelum ada internet mungkin mudah pihak kerajaan menyekat sebarang maklumat kepada orang ramai kerana mereka hanya bergantung kepada maklumat dari akbar, radio dan Televisyen yang dikuasai oleh pihak pemerintah. 

Sekarang walaupun disekat seseorang itu memasuki mana-mana negara ianya tetap dapat menyampaikan pesanannya melalui medium langit terbuka seperti SMS, FaceBook, Whatsapp, Telegram, Blogs dan sebagainya.

Mereka menyangka dengan menyekat seseorang itu dari memasuki negara/negeri ini boleh menyelesai sebarang masalah tidak akan berjaya kecuali yang disekat itu betul-betul mengancam keselamatan negara seperti membawa senjata api, bahan letupan, dadah dan sebagainya yang boleh dikategori sebagai bahan larangan.

Kalau menyekat sesorang yang tidak sefahaman atau yang berbeda fahaman politik lebih-lebih lagi dia adalah rakyat atau warganegara Malaysia, rasanya tidak relevan dengan dasar demokrasi berpelembagaan yang dibenarkan dalam negara ini.

Kalau sesorang itu dapati bersalah kerana menghasut atau menyebabkan rakyat negara ini hura-hara memang patut diambil tindakan bukan hanya menyekat beliau dari menyampaikan maklumat kepada rakyat. Kalau ada berlaku salah faham atau mendapat maklumat yang tidak sahih lebih baik bertanya terus kepada orang yang menyampaikan maklumat tersebut.

Mungkin maklumat yang diterima tidak lengkap atau diputar belit oleh pihak tertentu sehingga apa yang hendak disampaikan kepada orang ramai tidak tepat dan mengelirukan. Setiap masalah boleh diselesaikan bila diadakan pertemuan atau diadakan dialog secara tertutup atau terbuka.

Banyak lagi masalah rakyat yang perlu dihebahkan bukannya isu-isu sensitif yang tidak memberi manfaat kepada negara dan rakyat.

Harap masalah perselisihan pendapat antara agama dan bangsa dapat diselesaikan secara harmoni dan kekeluargaan. Adakan dialog antara agama adalah jalan terbaik untuk semua. Dengan adanya pertemuan atau bersemuka antara pihak yang berbalah boleh meredakan masalah ini dari berlarutan.

Jofri Jaraiee
PAS Sarawak

-PAS.ORG.MY

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget