SPRM yakin AG puas hati siasatan kes RM2.6 bilion

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yakin pejabat peguam negara berpuas hati dengan siasatannya dalam dua kes berkaitan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dua kes itu melibatkan RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun bank Datuk Seri Najib Razak dan tuduhan RM42 juta disalurkan daripada SRC International ke akaun perdana menteri itu.

Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohd Zin berkata kertas siasatan itu telah diserahkan semula ke pejabat AG selepas ia dikembalikan kepada SPRM untuk penjelasan lanjut pada 22 Januari lalu.

Bahri berkata mengikut kelaziman, peguam negara akan memanggil pengurusan atasan SPRM atau pegawai penyiasat bagi membincangkan fakta kes dan mencadangkan pendakwaan bagi kes berprofil tinggi, sebelum membuat keputusan muktamad.

"Dalam kes SRC International dan dana RM2.6 bilion ini, sehingga ke hari ini, pihak SPRM tidak dipanggil untuk diadakan perbincangan dan saya percaya ini adalah kerana pihak peguam negara telah berpuas hati dengan cadangan dan usul yang dikemukakan oleh SPRM dalam kertas siasatan," katanya pada kenyataan media hari ini.

Terdahulu, laman web pemberi maklumat Sarawak Report melaporkan bahawa SPRM mencadangkan tidak kurang daripada 37 tuduhan terhadap Najib, tetapi badan anti rasuah itu menafikannya.

Najib berkata RM2.6 bilion itu merupakan derma politik yang diterima daripada pelbagai sumber, tetapi enggan mendedahkan penderma berkenaan.

Najib juga dikatakan mengakui RM42 juta dari SRC International berada dalam akaunnya, ketika memberikan jawapan dalam pertikaian mahkamah dengan bekas menteri, Tun Dr Ling Liong Sik. Bagaimanapun perkara itu dinafikan peguamnya, Datuk Hafarizam Harun.- Malaysiakini
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget