Kami tidak boleh tunggu PKR, kata DAP Sarawak


Pilihan Raya Sarawak semakin dekat tetapi Pakatan Harapan di negeri itu masih terperangkap dalam proses pengagihan kerusi dengan pengerusi DAP negeri Chong Chieng Jen secara terbuka mengakui yang parti itu sedang “bersaing” dengan PKR.

Chong menggambarkan situasi itu di antara DAP negeri Sarawak dan PKR, apabila ditanya mengenai hubungan 2 parti dalam Pakatan Harapan yang sedang bertarung dalam perebutan kerusi menjelang pilihan raya negeri bakal diadakan sama ada pada akhir Mac atau April.

“Kami sedang bekerjasama tetapi juga bersaing. Kami bekerjasama untuk cuba mendapatkan perlawanan satu lawan satu di kerusi negeri,” katanya.

“Tetapi kami juga tidak boleh hanya berdiam diri dan selesa sedangkan kami tahu tidak banyak usaha politik yang dilakukan di kawasan pedalaman.

“Adakah kami perlu menunggu dalam zon selesa kami sehingga PKR benar-benar pergi ke kawasan pedalaman untuk membawa kesedaran berpolitik?

“Sangat tidak bertanggungjawab untuk kami terus menunggu,” kata Chong kepada The Malaysian Insider dalam sebuah wawancara eksklusif di Kuching.

PKR dan DAP di Sarawak mempunyai hubungan yang mengelirukan dan walaupun banyak usaha sudah dilakukan untuk perundingan mengenai 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), tidak banyak kejayaan dicapai.

Tambahan pula PKR menuduh DAP cuba merampas kerusi di kawasan pedalaman yang sudah didekati mereka.

DAP mempunyai prestasi menakjubkan dalam pilihan raya negeri 2011, memenangi 12 buah kerusi DUN- semuanya di kawasan bandar- daripada peruntukan 15 kerusi yang diletakkan calon.

PKR mempunyai 3 kerusi daripada 49 kerusi DUN – kerusi pedalaman Ba Kelalan diduduki pengerusi negeri Baru Bian, kawasan bandar majoriti kaum Cina Batu Lintang disandang naib pengerusi parti negeri See Chee How dan kawasan pedalaman majoriti kaum Dayak di Krian yang dipegang Ali Biju.

DAP mahu 30-45 kerusi DUN

DAP kini meminta “30-45 kerusi”, kata Chong, termasuk 12 kerusi yang dipegangnya sekarang.

Pada Mac tahun lepas, beliau berkata yang partinya berminat kepada 30 kerusi.

Pendirian PKR pula dalam perundingan peruntukan kerusi dipertandingkan ialah meminta jumlah kerusi yang sama diberikan kepada mereka semasa pilihan raya lepas.

Chong berkata, kedua belah pihak sudah mengeluarkan senarai kerusi yang dimahukan dan mendakwa, “akan ada perbincangan”.

Beliau enggan mendedahkan lebih lanjut, kecuali menambah perjanjian itu sudah tentu perlu dicapai sebelum hari penamaan calon.

Pengundian perlu dilakukan sebelum atau pada Jun ketika penggal DUN Sarawak akan dibubarkan.

DUN Sarawak kini mempunyai 82 kerusi, peningkatan 11 buah kerusi selepas proses persempadanan semula dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dipenuhi kontroversi.

Jangka masa singkat tidak memberikan ruang banyak untuk kedua-dua parti menyelesaikan pertikaian mengenai calon yang sepatutnya diletakkan di kerusi tertentu, terutama di kerusi Orang Asal atau Dayak di mana PKR mendakwa sudah bekerja keras untuk meraih sokongan penduduk setempat.

Pertelingkahan ini mencerminkan sambutan baik kepada usaha pembangunan infrastruktur kawasan pedalaman dilakukan DAP dikenali sebagai Impian Sarawak, yang digerakkan untuk menyebarkan pengaruhnya di kawasan pedalaman negeri itu.

DAP nafi PKR lakukan kerja akar umbi

Chong menafikan dakwaan PKR yang mereka sudah melakukan kerja akar umbi di kerusi pedalaman lama sebelum DAP memulakan usaha dan berkata Impian Sarawak mencapai lebih banyak kejayaan jika dibandingkan dengan usaha dilakukan PKR.

“Usaha kami lebih meluas melibatkan bidang pendidikan dan pusat perubatan, di samping membantu pembinaan infrastruktur.

“Usaha mereka pula dilakukan di bawah badan bukan kerajaan seperti Light Up Borneo dan Barefoot Mercy. Ok, anda boleh buat semua itu, tetapi di mana mesej politik?

“Kerana pada akhirnya perkara yang paling penting ialah mesej politik kepada penduduk kampung, kerana hanya dengan itu kita boleh melakukan perubahan politik. Apabila kami melakukan projek di kawasan pedalaman, kami juga menimbulkan persoalan yang semua ini ialah tanggungjawab kerajaan Barisan Nasional (BN) dan mereka gagal melakukannya.

“Ini ialah mesej yang perlu dihantar secara berterusan dalam jangka masa tertentu, dan hanya ketika itulah perubahan politik akan berlaku perlahan-lahan di kawasan pedalaman,” kata Chong, yang juga merupakan ahli Parlimen Kuching dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Sentosa.

Ketika ditanya jumlah capaian Impian Sarawak, Chong berkata mereka sudah pergi melawat 30 sehingga 40 buah kampung dan menambah cawangan parti itu di Sarawak, terdiri daripada “beberapa ribu ahli”, kini mempunyai lebih ramai ahli kaum Dayak berbanding Cina.

Oktober tahun lepas, Abun Sui Anyit dari PKR Sarawak berkata yang parti itu “bimbang akan DAP negeri kerana mereka tidak boleh dipercayai”.

Tetapi Chong menimbulkan kegagalan PKR yang hanya mampu memenangi 3 kerusi semasa pilihan raya negeri 2011 sedangkan sudah diperuntukkan banyak kerusi untuk bertanding.

“Jawapan saya ialah tiada kawasan menjadi milik parti tertentu, terutama sekali apabila anda tidak memenangi kerusi kawasan tersebut,” katanya.

“Falsafah kami ialah sekiranya anda mahu bertanding di kawasan itu, anda perlu mula bekerja di kawasan tersebut dan bukan hanya turun sewaktu kempen pilihan raya.

“Jadi kami mula bekerja (di kawasan Dayak) sebaik sahaja selepas pilihan raya umum 2013 ketika orang lain masih lagi tertekan dengan kegagalan pembangkang menakluki Putrajaya.

“Ketika itulah kami memulakan Impian Sarawak.”

- The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget