Jambatan Batang Lupar Bakal Rancakkan Ekonomi Pesisir - Najib

BINTULU: Sarawak bukan sahaja bakal menyaksikan pembinaan jambatan terpanjang di negeri ini, malah pembinaan Jambatan Batang Lupar di Sri Aman bakal menjadi nadi utama pembangunan kawasan pesisir sekiranya rancangan berkenaan berjaya dilaksanakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dalam beberapa siri lawatannya ke negeri ini beliau mendapati betapa perlunya ‘connectivity’ (perhubungan) untuk memajukan kawasan pesisir, justeru beliau mencadangkan pembinaan Jambatan Batang Lupar untuk merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan pembangunan di kawasan tersebut.

“Selain membina Lebuhraya Pan Boneo, kita juga akan melengkapkan rangkaian jalan pesisir dengan membina Jambatan Batang Lupar.

“Saya minta kerajaan negeri membiayai 50 peratus kos pembinaan jambatan itu nanti, dan selebihnya akan dibiayai kerajaan pusat,” kata Najib ketika berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Suarah Bintulu hari ini.

Beliau menambah, cadangan pembinaan Jambatan Batang Lupar akan dimasukkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN) Sarawak.

Dianggarkan lebih 15 ribu penduduk Bintulu dan kawasan sekitarnya menghadiri majlis tersebut.

Terdahulu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Adenan Satem dalam ucapannya berkata cadangan pembinaan Jambatan Batang Lupar adalah idea spontan Perdana Menteri ketika dalam perjalanan kembali dari meninjau projek pembinaan Jambatan Batang Sadong pagi tadi.

Menurut Adenan, kos sebenar pembinaan jambatan berkenaan belum dapat dipastikan namun beliau membayangkan bakal mencecah sehingga RM1 billion berdasarkan lebarnya sungai Batang Lupar.

Perdana Menteri turut meyakinkan, beliau akan berusaha mendapatkan sumber kewangan bagi membiayai projek tersebut. – Sarawakiana

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget