Pakatan Harapan Sekadar Jual Harapan


KUALA LUMPUR  – “Buat sekian kalinya menjual harapan?,” soal exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Mimie Harianie Alias.

Menurutnya, bukan sekali sebenarnya pakatan parti-parti pembangkang ini cuba menjual harapan, tetapi telah banyak kali cuma bezanya pelakon sahaja yang berlainan walaupun watak tetap sama.

“Kerana itu kita perlu sedar bahawa kesepakatan yang wujud di dalam parti pembangkang adalah palsu sahaja, semata-mata kerana mahu mempengaruhi minda rakyat menolak kerajaan walhal mereka sama sendiri pun mempunyai sifat menolak malah membuang rakan sekutu.

“Seringkali sebelum ini mereka gagal di dalam gabungan longgar yang mereka cipta, apakah rakyat mahu terus mempertaruhkan masa depan negara kepada mereka ini?

“Jika sebelum ini dengan Barisan Alternatifnya, dengan Pakatan Rakyatnya bersama-sama dengan parti Pas, tetapi kini Dap dan Pkr mengetepikan Pas kerana mempunyai rakan yang baharu, Amanah, yang dipelopori golongan yang kecewa merebut jawatan di dalam parti Pas itu,” katanya kepada UMNO-Online.

Justeru itu, beliau berpandangan sampai bila pakatan pembangkang mahu berterusan mempermainkan minda rakyat dengan pelbagai gabungan longgar atas nama pakatan tetapi semuanya rapuh, rebah apabila tiada persefahaman.

“Kerana itu saya berpendapat wujudnya pakatan terbaru ini tidak lebih sekadar mencuba nasib ‘menjual’ sesuatu yang baharu walaupun hakikatnya tidak bernilai.

“Dan bukan sesuatu yang pelik apabila akhirnya ‘harapan baharu’ mereka ini nanti akan menjadi ‘harapan tinggal harapan’.

“Apa yang tidak dijual semasa mereka di dalam pakatan rakyat, semuanya dicanang kononnya atas nama rakyat tetapi akhirnya ‘rakyat’ mereka yang menjadi mangsa, berkubur,” jelasnya lagi.

Beliau turut menimbulkan persoalan, bagaimana pembangkang mampu berpakat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat jika kesepakatan sama sendiri pun sering berubah.

“Jelas sebenarnya pembangkang ini mahu meniru resepi kesepakatan yang ada di dalam Barisan Nasional (BN) tetapi sejarah telah membuktikan mereka tidak pernah berjaya.

“Kerana apa? Kerana mereka masing-masing mempunyai agenda parti politik masing-masing, masing-masing ada kepentingan dan jelas langsung tiada kejujuran antara sesama,” tegasnya.

Buktinya, lihatlah sahaja sudah beberapa kali parti Pas dan Dap berpakat dan berpecah, semasa bersama canang kepada rakyat pelbagai harapan, semuanya manis belaka, rela ‘diperkuda’ dan ‘diperlakukan’ pelbagai gaya tetapi rupanya palsu semata apabila ikatan terlerai masing-masing membuka pekung bekas rakan ibarat habis madu sepah dibuang, tambahnya lagi.

- Umno Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget