Najib rai ulangtahun 40 tahun karier politik ketika isu derma belum reda


Datuk Seri Najib Razak menyambut ulangtahun 40 tahun dalam politik dengan para pemimpin atasan dan ketua Umno bahagian malam tadi, walaupun sedang berdepan kekecohan berhubung keputusan peguam negara yang tidak mendakwanya berhubung wang RM2.6 bilion ditemui dalam akaun banknya 3 tahun lalu.

Beberapa ketua Umno bahagian mengesahkan menghadiri acara tersebut tetapi enggan mengulas lanjut dan mengatakan ia merupakan hal dalaman parti.

Majlis diadakan pada saat Najib dilihat cuba mengukuhkan kuasanya dalam kerajaan dan Umno selepas serangan ke atas karakter dan gesaan berulang-kali terhadapnya agar meletakkan jawatan daripada para pengkritik, terutamanya daripada mentor bertukar musuh Tun Dr Mahathir Mohamad – perdana menteri ke-4 Malaysia.

Najib mengejutkan negara 6 bulan lalu apabila memecat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri Kabinet Datuk Seri Shafie Apdal kerana kritikan mereka terhadap syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang mempunyai hutang RM42 bilion tanpa banyak aliran tunai untuk membayar pinjaman itu.

Beliau juga memecat Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, yang merupakan sebahagian daripada pasukan petugas khas menyiasat dakwaan wang daripada anak syarikat 1MDB, SRC International disalurkan untuk tujuan kempen politik Najib.

Minggu lalu, rakan-rakan partinya di Kedah menyatakan rasa tidak puas hati dengan kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir – anak bongsu Dr Mahathir dalam apa yang dilihat sebagai perang proksi di antara 2 pihak.

Terdapat spekulasi Mukhriz akan dilucutkan jawatan sebagai menteri besar minggu ini dengan penyokong Najib membersihkan pembangkang dalam parti.

Najib menyertai politik pada 1976 apabila bapanya, perdana menteri ke-2 Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia.

Beliau berdepan pelbagai dakwaan termasuk yang terbaru melibatkan "derma" sebanyak RM2.6 bilion daripada keluarga Diraja Saudi dan wang yang dikesan daripada syarikat milik negara SRC International.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata awal minggu ini tiada bukti mencukupi bagi salah laku jenayah dan mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup fail siasatan.

SPRM merayu keputusan itu – yang membawa kepada konfrontasi awam antara agensi anti rasuah itu dan peguam negara yang dilantik menjawat jawatan itu Julai lepas.

Gembira dengan keputusan Apandi, Najib berkata minggu ini RM2.6 bilion adalah “satu isu gangguan yang tidak perlu untuk negara ini".

"Hasil siasatan institusi relevan, dan mengesahkan apa yang saya pertahankan selama ini: tiada kesalahan yang dilakukan," kata perdana menteri dalam kenyataan 4 perenggan yang dikeluarkan pejabat beliau di Putrajaya.

Pendedahan dana bernilai RM2.6 bilion di dalam akaun peribadinya dilakukan akhbar antarabangsa The Wall Street Journal (WSJ) pada Julai, dan dinafikan pihaknya, sebelum disahkan digunakan untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan menentang Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).

Sejumlah RM42 juta juga diterima daripada syarikat kerajaan, SRC International, namun peguam negara berkata Najib tidak mengetahui sumber itu.

Beliau sebaliknya mengemukakan saman terhadap bekas menteri Kabinet, Tun Dr Ling Liong Sik kerana mendakwa sebahagian dana dalam akaunya adalah daripada sumber lain. 

Walaupun tidak mendedahkan untuk apa wang itu digunakan, Najib menyentuh tentang dana politik.

"Saya menghargai derma politik adalah isunya, sebab itu saya memulakan inisiatif pembaharuan derma politik pada 2010.

"Malangnya ia dihalang pembangkang ketika itu. Tetapi saya mengarahkan ia dibincangkan," katanya.

Najib yang mula menjadi perdana menteri pada April 2009 juga menggesa isu itu dihentikan. 

"Isu itu adalah cubaan mengalih perhatian yang tidak diperlukan negara. Isu itu kini selesai, ini masanya untuk kita bersatu dan maju ke hadapan.

"Saya akan menggandakan fokus kepada isu utama untuk Malaysia, terutamanya membanteras keganasan dan mengukuhkan ekonomi," kata Najib.

- The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget