Kenyataan daripada pembangkang akan terus dibidas

Rundi, Karim, Abdullah dipertanggungjawab bidas sebarang kenyataan pembangkang terutama Chong

KUCHING: Tiga pemimpin kuat Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Stephen Rundi Utom, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Abdullah Saidol dipertanggungjawabkan untuk membidas sebarang kenyataan daripada pembangkang terutama Chong Chieng Jen.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini semalam, Abdullah yang merupakan ketua setiausaha politik Ketua Menteri berkata tanggungjawab ini telah diamanahkan oleh Ketua Menteri kepada ketiga-tiga mereka.

“Tidak hanya Chong (pengerusi DAP Sarawak), malah sebarang kenyataan daripada pembangkang akan diuruskan oleh kami bertiga dan jika perlu kami akan mengeluarkan kenyataan balas bagi membidas mereka,” kata Abdullah.

Tambah Abdullah yang juga pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak, langkah Ketua Menteri ini adalah demi kepentingan BN secara keseluruhannya terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang ini.

“Apa yang ingin ditekankan oleh Ketua Menteri ialah beliau tidak mahu pemimpin BN terutama ahli-ahli yang berhormat daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil mudah akan perkara ini.

“Memang beliau (Ketua Menteri) mengakui diri beliau popular tetapi beliau tidak bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sebab itu beliau sangat lantang dalam hal ini dan mahu semua ahli yang berhormat (YB) agar turun padang di kawasan masing-masing dan tidak mengambil mudah sebarang isu yang dibangkitkan oleh pembangkang,” katanya.

Sementara itu, Karim yang juga Menteri Muda Perumahan dan Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) berkata beliau bersama Abdullah dan Rundi akan memastikan kenyataan negatif Chong terhadap Ketua Menteri dan BN ditepis sebaiknya.

“Kedudukan Ketua Menteri terlalu tinggi untuk Chong. Kami bertiga sudah cukup kuat untuk berhadapan dengan Chong dan pemimpin pembangkang yang lain,” ujar Karim.

Rundi merupakan Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) dan juga setiausaha agung BN Negeri dan PBB.

Terdahulu sebelum sidang media itu, ketiga-tiga pemimpin BN ini turut serta dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB yang dipengerusikan Ketua Menteri merangkap presiden PBB dan pengerusi BN Sarawak.-Utusan Sarawak

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget