Perhimpunan perkasa belia Lambir


MIRI: Kira-kira 1,000 belia dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir akan berkampung di Hotel Parkcity Miri selama dua hari sempena Program 1,000 Belia N.72 DUN Lambir pada 30 dan 31 Januari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat berkata program julung kali diadakan itu bakal menghimpun belia kawasan rumah panjang dan kampung dalam kawasan Lambir.

“Pelbagai acara menarik telah disusun atur untuk belia selama dua hari itu selain ingin mendapat maklum balas secara langsung daripada belia akan inspirasi mereka untuk pembangunan akan datang menerusi program ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya malam kelmarin.

Ripin berkata program ini signifikan dengan matlamat untuk mempertahan belia daripada terjebak kegiatan tidak bermoral seperti penagihan dadah seterusnya menentukan hala tuju belia ke landasan yang betul.

“Kita tidak mahu belia bakal mewarisi kepimpinan negara terjebak dalam kegiatan tidak bermoral atau terpengaruh dengan hasutan luar boleh memecah belah perpaduan dan keharmonian kaum di Sarawak,” katanya.

Bagi memantapkan lagi transformasi belia, pihaknya merangka program keusahawanan, pendidikan serta semangat mencintai negara menerusi segmen bual bicara dengan agensi kerajaan yang terlibat.

“Kita tahu ada belia terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan seperti makan segera dan sebagainya, sehubungan itu kita akan mendekatkan mereka dengan agensi berkaitan bagi memudahkan mereka mendapat maklumat tentang bantuan kewangan yang ditawarkan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, ia juga akan disertai belia dari pelajar sekolah menengah tingkatan 5 dan 6 dan mereka akan didedahkan peluang pendidikan dan biasiswa sebaik sahaja tamat persekolahan oleh Yayasan Sarawak.

“Saya secara peribadi berharap program ini mampu dijadikan platform kepada belia untuk mengenengahkan bakat kepimpinan mereka seterusnya mampu memberi sumbangan kepada pembangunan negara kelak,” katanya.

Antara aktiviti lain yang akan diadakan ialah bual bicara bersama agensi kerajaan, sembang belia bersama ADUN Lambir, bola sepak pantai, futsal, street soccer, gusti lengan, tarik tali, sukaneka dan banyak lagi.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dijangka akan menyempurnakan majlis perasmian pada 30 Januari ini.

Sementara Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Petrajaya Datuk Seri Fadillah Yusof dijangka akan menyempurnakan majlis penutupan pada petang 31 Januari.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget