Datuk Bandar Miri sedia bertanding PRN Sarawak


MIRI: Datuk Bandar Miri Lawrence Lai bersedia bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang jika ia adalah kemahuan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

“Saya tidak pernah mengatakan saya mahu atau tidak bertanding pada PRN akan datang tetapi itu terpulang kepada Ketua Menteri.

“Bagaimanapun, jika ia adalah kemahuan Ketua Menteri maka saya harus menghormati keputusan beliau,” katanya membayangkan jawapan positif setelah didesak pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MBM di sini, semalam.

Pengerusi Majlis Bandaraya Miri (MBM) itu mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang di sini selain cukup popular di kalangan penduduk Miri sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai datuk bandar Miri, merupakan antara nama disebut-sebut dicalonkan beberapa pihak dalam SUPP kepada Adenan.

Ketika ditanya kerusi mana beliau diletakkan, Lai berkata beliau tidak mahu mengulas mengenai soal tersebut dan menyerahkan sepenuhnya kepada Adenan untuk memutuskan beliau harus bertanding di salah satu kerusi tersebut.

Parlimen Miri mempunyai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terdiri daripada N.73 Piasau, N.74 Pujut dan N.75 Senadin.

Pada PRN 2011, kedua-dua kerusi Piasau dan Pujut jatuh ke tangan DAP selepas bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan (BN-SUPP) yang memperolehi 4,408 undi tewas di tangan pemimpin muda DAP Alan Ling (kini setiausaha kehormat DAP Sarawak) yang memperolehi majoriti 1,590 undi pada pertandingan satu lawan satu.

Manakala penyandang DUN Pujut Andy Chia (BN-SUPP) memperolehi 5,271 undi, tewas di tangan Fong Pau Teck (ketika itu masih dalam DAP sebelum keluar menjadi wakil rakyat tidak berparti) dengan 9,120 undi iaitu majoriti 3,849 pada pertandingan satu lawan satu.

Manakala DUN Senadin, penyandang yang juga Menteri Muda Perhubungan dan Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin menang tipis dengan hanya 58 undi majoriti.

Lee memperolehi 7,334 undi mengalahkan Ketua PKR Miri Dr Michael Teo yang memperolehi 7,276 undi.

Selain nama Lai, khabar angin menyatakan tiga nama lain yang turut diserahkan kepada Ketua Menteri untuk disenarai pendek ialah Lee yang juga penyandang DUN Senadin, Pengerusi SUPP Pujut Adam Yii bagi kerusi Pujut dan Setiausaha Kehormat SUPP Datuk Sebastian Ting bagi kerusi Piasau.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget