Setia pada UMNO, sedia berundur jika ada pemimpin lebih baik


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menegaskan bahawa beliau tetap setia kepada UMNO dan bersedia berundur jika terdapat pemimpin yang lebih baik daripadanya serta mendapat sokongan penuh rakyat.

“Kalau saya buat tak betul dan dirasakan saya ni tak bagus, ada orang yang lebih bagus jadi letaklah siapa-siapa, saya akan sokong selagi orang itu lebih baik daripada saya…boleh diyakini oleh rakyat negeri Kedah ini,” katanya.

Berucap di majlis perjumpaan bersama ahli-ahli UMNO Bahagian Jerlun, hari ini, Mukhriz menolak andaian akan melompat ke parti lain.

Katanya apa yang beliau hendak lakukan ketika ini adalah memperkuatkan parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 supaya UMNO menang lebih besar.

Namun katanya, usaha memperkuat parti memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak agar semua strategi pembangunan dirancang membuahkan kejayaan demi rakyat negeri ini.

Mukhriz, yang juga Adun Ayer Hitam, berkata tindakan sekumpulan pemimpin UMNO yang menolak kepimpinan beliau semalam mungkin berpunca penampilan dan caranya percakapan beliau.

Katanya, beliau kadangkala sedikit telus mengenai perkara-perkara tertentu sehingga menimbulkan rasa tidak senang kepada beberapa pihak termasuk meminta beliau digugurkan daripada jawatan Menteri Besar.

“Kalau tak dak pasal apa nak tukar. Ini bukan soal 14 orang tidak yakin dengan saya, yang penting ialah dua juta rakyat Kedah yakin dengan saya. Bukan saya nak mencabar tetapi saya nak yang terbaik bagi parti dan rakyat negeri Kedah,” katanya.

Semalam, sekumpulan pemimpin UMNO negeri menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinannya sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Kumpulan itu diketuai Timbalan Pengerusi UMNO Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanifah yang turut disertai ketua-ketua sayap.

Sementara itu, Stiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini berkata tidak ada keperluan untuk mengambil tindakan disiplin terhadap 14 orang Ketua UMNO Bahagian di Kedah.

Beliau berkata Ibu Pejabat UMNO telah memantau sidang media oleh ketua-ketua bahagian itu di Alor Setar semalam, yang meminta presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan perubahan ke atas kepimpinan tertinggi parti di negeri itu.

“Mereka berharap agar Presiden UMNO dapat segera membuat perubahan demi kelangsungan parti dan kepentingan rakyat negeri itu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Justeru itu, tidak timbul isu di mana Setiausaha Agung UMNO perlu mengambil tindakan disiplin terhadap 14 orang Ketua UMNO Bahagian Negeri Kedah tersebut, katanya.

- BNBBC

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget