Kemenangan besar BN di Dun Semariang sekiranya 70% keluar mengundi


KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Samariang menyasarkan sebanyak 70 peratus pengundi di konstituensi itu akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung pada Mac atau April depan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang merangkap Setiausaha Politik Ketua Menteri Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, sasaran itu sekiranya dicapai pada PRN kali ini bakal menyaksikan kemenangan besar BN di Samariang.

“Pada PRN lepas (2011), kita telah menang besar dengan jumlah majoriti 5,431 undi dan pada tahun ini kita menyasarkan kemenangan besar sekali lagi namun sasaran mestilah melebihi daripada jumlah sebelum ini kerana direkodkan sebanyak 18,005 pemilih setakat November 2015.

“Kita tahu mungkin susah untuk mencapai tahap sasaran itu tapi kita yakin dengan adanya gerak kerja daripada Exco Bapa, Wanita dan Pemuda PBB Cawangan Samariang yang bersungguh-sungguh mempromosikan kepimpinan kita, saya pasti ramai pemilih kita di Samariang akan keluar mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengaktifan Jentera Pilihan Raya DUN Samariang di Hotel Grand Margherita di sini, malam kelmarin.

Mengulas mengenai majlis itu, kata Hasidah, PBB di setiap cawangan telah menerima arahan daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk mengaktifkan gerak kerja jentera pilihan raya sebagai persiapan menghadapi PRN.

“Sebab itu kita panggil semua ahli PBB kita malam ini (malam kelmarin) kerana saya mahu mengumumkan secara rasmi kita mesti terus aktifkan gerak kerja di peringkat akar umbi dan ranting.

“Ini masa yang bersesuaian kita semua memulakan pelan perancangan gerak kerja serta menubuhkan jawatankuasa yang akan mengendalikan setiap tugasan yang akan diamanahkan bagi mendekati rakyat di Samariang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua PBB Cawangan Samariang Datuk Seri Abang Khalid Tan Sri Datuk Amar Abang Marzuki berkata, kemenangan yang diperolehi sebelum ini adalah kerana gerak kerja cemerlang selain jalinan hubungan kerjasama kuat yang ditunjukkan ahli PBB dalam cawangan itu.

“Kita mahu kali ini sekali lagi kita berjuang sekuat-kuatnya untuk mempertahankan PBB pada PRN kali ini.

“Hanya parti asli (Sarawak) yang mampu memerintah negeri kita dan sekali lagi ingin diingatkan seperti yang sering dikatakan KM Adenan bahawa kita perlu menolak parti luar dan pembangkang dari Semenanjung Malaysia termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP),” katanya.

Turut hadir Pegawai Pentadbir Khas Ketua Menteri Wan Khalid Wan Muhammad, Naib Ketua Cawangan PBB Samariang Kaunselor Abdul Baderi Sahmat dan Ketua Pergerakan Wanita PBB Samariang Hanifah Saed.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget