Cubaan Menipu Adun DAP

Alan Ling membuat laporan polis mendakwa ada pihak cuba menipunya menerusi panggilan telefon
MIRI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Alan Ling tampil membuat laporan polis dengan mendakwa ada pihak cuba menipunya menerusi panggilan telefon.

Beliau ditemani beberapa rakan daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) tiba di Balai Polis Pusat Miri sekitar jam 2.40 petang semalam.

Dalam aduannya, Alan mendakwa antara jam 8.25 hingga 9.15 malam kelmarin, beliau menerima ‘panggilan tidak berjawab’ (miss call) daripada satu nombor tidak dikenali.

Selang beberapa minit, beliau turut menerima SMS daripada nombor sama yang ditulis dalam bahasa Mandarin bermaksud ‘sila telefon balik’.

Selepas itu, Alan terus menghubungi nombor tersebut dan kedengaran seorang lelaki menjawab sambil bertanya adakah ini ‘Alan Ling’.

“Setelah saya jawab ya… lelaki terbabit terus memperkenalkan dirinya sebagai ‘Coco’ dari Kuala Baram sambil bertanya sama ada saya dapat membantunya keluar dari tahanan reman di Balai Polis Marudi.

“Saya terus bertanya kenapa dia ditahan di Marudi dan lelaki itu memberitahu kerana terlibat dalam kegiatan pembalakan haram dan direman tujuh hari,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis semalam.

Berikutan itu, Alan berkata kepada lelaki terbabit akan menghubungi Ketua Polis Daerah (KPD) Baram di Balai Polis Marudi keesokannya untuk bertanya lebih lanjut tentang kes itu dan bersedia memberi nasihat perundangan sekiranya diperlukan.

Bagaimanapun, lelaki itu berkata dia tidak mahu orang Miri tahu kegiatannya terlibat dalam pembalakan haram dan serentak dengan itu menghentikan perbualan mereka.

“Pagi ini, saya menghubungi KPD Baram dan diberitahu tidak ada sebarang tangkapan atau reman berhubung kes pembalakan haram di Marudi buat masa ini.

“Justeru, saya membuat laporan untuk rujukan polis kerana saya percaya lelaki terbabit cuba menipu saya dengan meminta bantuan membebaskannya yang kononnya dalam reman polis,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Alan turut menasihati orang awam agar segera membuat laporan polis sekiranya menerima panggilan telefon atau SMS berbaur penipuan.

Katanya sekiranya ada yang menghubungi dalam keadaan terburu-buru sambil meminta bantuan segera, jangan panik sebaliknya beritahu rakan-rakan tentang kejadian itu dan cuba minta pendapat daripada orang lain.

“Kalau tidak kemungkinan kita akan mudah menjadi mangsa penipuan golongan sebegini yang sengaja memanfaatkan kelemahan seseorang.

“Dalam kes ini, saya sudah masak dengan panggilan sebegini sebab itu saya kata akan menghubungi polis untuk mendapatkan butiran kes dan dia segera menghentikan perbualan.

“Sungguh tidak logik seseorang berada dalam tahanan reman boleh membuat panggilan telefon menggunakan telefon bimbit,” katanya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget