PAS pertingkat aktiviti pancing sokongan rakyat


KUCHING: Aktivis Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri sedang giat meningkatkan aktiviti parti seluruh negeri bagi memastikan parti itu mampu menambah perolehan sokongan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Mendedahkan perkara itu, Pengerusi Lajnah Penerangan dan Media PAS Sarawak Mohd Shokri Ahmad Fauzi berkata, segala perencanaan aktiviti dilaksanakan mulai awal 2014 dan tidak menunggu saat akhir menjelang PRN.

“Kita tidak mahu mengulangi kesilapan PAS pada pilihan raya lepas dengan kurang memberi penekanan aktiviti parti.

“Justeru, semua aktiviti dijalankan menerusi program parti perlu diketengah kepada masyarakat kerana ia mampu membantu merealisasi kemenangan kelak,” katanya ketika menghubungi Utusan Borneo, semalam.

Malah katanya, parti Islam itu juga mahu membaiki kelemahan supaya setiap program dianjur menepati matlamat atau cita rasa penduduk setempat khusus golongan anak muda.

Dalam pada itu, ujarnya, PAS sentiasa mencuba membantu meringan beban rakyat tanpa mengira bangsa, agama serta warna kulit.

“Bantuan dihulurkan bersifat sama rata serta dilaku di semua tempat dan tidak hanya tertumpu di kawasan Parlimen dan DUN yang ditandingi PAS dalam pilihan raya kelak.

“Pada masa sama, ia sebagai bukti bahawa parti menitikberatkan kebajikan rakyat. Sekkurang-kurangnya ia membantu kelangsungan hidup rakyat terutama berkaitan pengurusan hal rumah tangga,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Shokri turut memberitahu, PAS kini meneruskan kempen penerangan isu semasa menerusi pengedaran risalah di pasar-pasar serta dari rumah ke rumah.

Pengedaran risalah itu, ujarnya, merupakan sebahagian daripada usaha dalam meningkatkan kefahaman rakyat terhadap apa yang berlaku di negara ini.

“Rakyat berhak mendapat dan mengetahui maklumat mengenai apa sedang berlaku di negeri ini setelah lama diperintah PBB-BN sejak sekian lama,” katanya.

Difahamkan, orang ramai menyambut baik usaha PAS dalam memberi maklumat berfaedah kepada rakyat.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget