Putrajaya setuju 13 perkara penurunan kuasa pentadbiran Sarawak


KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata rundingan penurunan kuasa kepada kerajaan negeri dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Rabu lepas (Jan 20), membuahkan hasil positif.

Beliau berkata dalam rundingan yang disifatkan sebagai peringkat pertama itu, kerajaan Persekutuan bersetuju menurunkan 13 kuasa pentadbiran kepada kerajaan Negeri.

“Keputusan rundingan antara saya dengan Perdana Menteri semalam (Jan 20) sangat positif.

“Semalam merupakan fasa pertama rundingan berkisar kepada kuasa pentadbiran, fasa kedua mengenai hak-hak dan perlembagaan persekutan dan fasa ketiga berkaitan pengurusan kewangan di bawah perlembagaan persekutuan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Beliau menambah fasa kedua dan ketiga rundingan akan dilakukan secara berperingkat serta memerlukan sedikit masa kerana ia melibatkan undang-undang negara termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh sebab itu saya memerlukan mandat yang besar pada pilihan raya negeri nanti, supaya saya berada dalam posisi mantap untuk meneruskan rundingan fasa kedua dan ketiga bersama Perdana Menteri,” ujarnya.

Menjelas lanjut mengenai 13 peruntukan kuasa pentadbiran itu Adenan berkata pertama, Pegawai Undang-Undang Negeri hendaklah diberi kuasa oleh Pendakwa Raya di bawah Kanun Tatacara Jenayah untuk pendakwaan bagi kesalahan di bawah peraturan-peraturan negeri dari peringkat seseorang dituduh di mahkamah rendah sehingga peringkat rayuan.

“Kedua, adalah dipersetujui bagi penurunan kuasa kepada pegawai-pegawai kerajaan mewakili Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dalam pelantikan pegawai-pegawai ke Perkhidmatan Awam Persekutuan termasuk perkhidmatan pengajaran dan perubatan.

“Ketiga, jawatan di Jabatan Imigresen Sarawak akan diperkukuhkan bagi meningkatkan fungsi penguatkuasaan dalam Negeri dengan menambah sebanyak 100 jawatan baru dengan kekosongan itu akan dipenuhi penghujung Februari 2016,” jelasnya.

Persetujuan keempat pula melibatkan nisbah guru kelahiran Sarawak berkhidmat di negeri ini akan ditingkatkan kepada 90 peratus dalam kalangan guru tempatan menjelang 2018.

Bagi memastikan sasaran itu dicapai, katanya jawatan guru sementara daripada pasaran terbuka akan dipertimbangkan dari semasa ke semasa dan mereka berpeluang mendapatkan Diploma Pendidikan mereka semasa mengajar dalam tempoh dua tahun.

Kuasa pentabiran kelima pula ialah kuasa warden trafik untuk Pihak Berkuasa Tempatan Sarawak akan diberikan kepada Majlis Bandaraya Miri, selain Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

Keenam, Kerajaan Negeri akan dikonsultasi terlebih dahulu sebelum permohonan Permit Perikanan Laut Dalam dikemukakan kepada Jawatankuasa Penilaian Permit Laut Dalam untuk dipertimbangkan.

Ketujuh, kerajaan Negeri akan dikonsultasi dalam merangka perundangan Persekutuan yang berfaedah atau memberi kesan kepada Kerajaan Negeri Sarawak.

“Kelapan, perancangan projek-projek pembangunan persekutuan di negeri Sarawak akan diberi keutamaan kepada Pelan Pembangunan Negeri Sarawak Lima Tahun berdasarkan bajet yang diluluskan.

“Pelaksanaan projek akan dirujuk atau dibincangkan antara kementerian dan kerajaan Negeri seperti menentukan lokasi sekolah, hospital dan pelaksanaan projek-projek pembangunan yang lain,” jelasnya.

Peruntukan kesembilan pula, kementerian bertanggungjawab akan mengambil langkah-langkah perlu untuk meningkatkan jumlah kemasukan pelajar daripada kalangan rakyat Sarawak ke dalam program ijazah sarjana muda perubatan di universiti awam.

Dengan kata lain, Sarawak akan diberi peluang yang lebih besar untuk memasuki program pengajian asas di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), tambahnya.

“Peruntukan ke-10 melibatkan persetujuan bahawa bidang yang boleh diturunkan kuasa akan dikenalpasti oleh Ketua Pengarah di bawah Seksyen 49 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada pegawai Negeri / jabatan.

“Peruntukan ke-11 ialah pembangunan projek-projek perumahan di Sarawak yang akan dilaksanakan semula melalui Mesyuarat Jawatankuasa Bersama. Ini untuk memastikan agensi-agensi kerajaan negeri terlibat sepenuhnya dalam perancangan, pelaksanaan dan pemantauan aspek projek-projek di Negeri Sarawak,” jelas Adenan.

Penurunan kuasa ke-12, adalah dipersetujui bahawa pembangunan sukan di negeri Sarawak diuruskan bersama-sama dengan kerajaan negeri dan Kementerian Belia dan Sukan sedang dalam proses meningkatkan Akta Pembangunan Sukan 1997 yang dijangka siap pada akhir 2016.

“Peruntukan terakhir iaitu ke-13 ialah adalah dipersetujui bahawa Kerajaan Negeri akan menjalankan semua fungsi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Semua jawatan akan dipindahkan kepada Perkhidmatan Awam Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan menyumbang 50 peratus daripada kos yang ditanggung seperti yang diputuskan oleh Majlis Kewangan Negara,” jelasnya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget