Semua kaum terima bantuan kebajikan: Fatimah


SIBU: Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah menjelaskan bahawa bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak terhad kepada satu kaum sahaja tetapi untuk semua kaum di negeri ini termasuk kaum Cina.

Katanya beliau ingin masyarakat tahu bahawa bantuan kebajikan adalah untuk mereka yang memerlukan tanpa mengira kaum dan agama tidak tertumpu kepada satu kaum sahaja.

“Ketua Menteri pernah mengatakan beliau tidak mahu kaum Cina dilabel sebagai kaum pendatang, kerana mereka adalah rakyat Sarawak yang juga lahir di sini dan tinggal di sini.

“Oleh itu, saya sering memberitahu kepada orang ramai bahawa kebajikan adalah untuk semua kaum termasuk Cina,” katanya pada majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina 2016 anjuran JKM Sibu di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah JKM Sarawak Abang Shamshudin Abang Seruji, Temenggung Datuk Vincent Lau dan Temenggung Stanley Geramong.

Fatimah berkata seramai 6,780 penerima bantuan etnik Cina di seluruh negeri menerima bantuan tambahan bulan ini melalui JKM Sarawak sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

“Mereka menerima bantuan tambahan dalam bentuk angpau sebanyak RM100 setiap seorang dan hamper bernilai RM50.

“Tidak ada potongan dalam bantuan kebajikan bulanan anda, bulan ini anda akan mendapat RM100 tambahan,” jelasnya.

Pada majlis itu, seramai 180 penerima dari Sibu menerima bantuan tersebut dan daripada jumlah itu dua daripadanya menerima bantuan kerusi roda setiap seorang.

Beliau berkata kerajaan negeri membuat keputusan menambah RM50 jumlah bantuan kebajikan bagi Bantuan Am, Bantuan Kanak-Kanak (BKK) dan Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) kategori Tidak Bekerja.

Menurutnya, ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem memastikan kebajikan golongan kurang berkemampuan terbela.

“Saya berharap apabila ekonomi negara bertambah baik pada masa akan datang, kerajaan persekutuan akan meningkatkan jumlah bantuan kepada penerima,” katanya.

Selain itu, beliau turut mendedahkan bahawa Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem merupakan individu paling dikenali di Malaysia pada masa ini.

Justeru, Fatimah meminta rakyat Sarawak memberi mandat kepada Adenan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sementara itu, terdapat 56,621 penerima bantuan kebajikan di seluruh negeri.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget