Kos RM181 juta PRN Sarawak Ke-11


PUTRAJAYA – Kos Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 yang dijangka menelan belanja sebanyak RM181 juta amat relevan dengan situasi semasa kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memerlukan peruntukan besar untuk tujuan logistik, pengangkutan dan sewa.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah berkata, tidak wajar sekiranya peruntukan tersebut dibandingkan dengan peruntukan PRN Sarawak pada tahun 2011 berikutan harga barangan dan kos sewa ketika itu masih rendah.

Mohd. Hashim yang dilantik sebagai Pengerusi SPR baharu berkuat kuasa 24 Januari ini berkata, pihaknya sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan pilihan raya berkenaan dan hanya menunggu tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja.

“Jumlah peruntukan yang meningkat tidak sepatutnya menjadi isu kerana jumlah itu sesuai dengan keadaan semasa, jangan banding dengan keadaan lima tahun lalu, mungkin ketika itu harga sewa, makan dan barangan masih rendah dan berbeza dengan sekarang.

“Kawasan yang kita mahu pergi masih sama, tetapi harga sewa kereta, helikopter, makan dan minum sudah naik, jadi sebab itu kos meningkat jika dibandingkan dengan PRN Sarawak pada 2011,” katanya selepas menghadiri Majlis Jamuan Perpisahan Pengerusi SPR di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai peruntukan sebanyak RM181 juta untuk melaksanakan PRN Sarawak Ke-11, iaitu meningkat lebih dua kali ganda berbanding PRN sebelum ini dengan SPR memperuntukkan sebanyak RM78 juta.

Terdahulu, Mohd. Hashim menerima nota serah tugas daripada Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof yang tamat tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi SPR kerana mencapai umur 66 tahun esok selepas lebih tujuh tahun menjawat jawatan tersebut.

Mengulas mengenai tanggungjawab baharunya sebagai Pengerusi SPR, Mohd. Hashim berkata, beliau akan terus mengekalkan kecemerlangan SPR sebagaimana yang telah diterajui oleh Abdul Aziz sebelum ini.

Sementara itu, ketika berucap dalam majlis jamuan perpisahan itu, Abdul Aziz berkata, sejak berkhidmat sebagai Pengerusi SPR, beliau sudah mengendalikan dua pilihan raya umum (PRU) dan 26 pilihan raya kecil (PRK) di seluruh negara serta sekali PRN Sarawak.

“Ini adalah sejarah bagi saya mengendalikan sebanyak 26 PRK sepanjang tempoh tujuh tahun berkhidmat. Saya juga bersyukur dikurniakan rakan seperjuangan yang sentiasa sepakat dan muafakat dalam membuat sebarang keputusan dasar bagi SPR.

“Saya berharap warga SPR sentiasa bersikap terbuka dan mengambil pendekatan secara diplomatik dalam menangani sebarang isu dan permasalahan, jangan cepat mengalah dengan sebarang usaha untuk menjatuhkan SPR pada masa akan datang,” katanya.

- Utusan Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget