Chegubard tak perlu ‘menyalak’, lapor ke SPRM


AMPANG: Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dinasihatkan supaya berhenti ‘menyalak’ dan menggunakan media untuk menyebarkan fitnah.

Nasihat itu diberikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali susulan dakwaan beliau terlibat dalam pemberian dua kawasan balak.

Katanya, Chegubard sepatutnya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika benar mempunyai bukti ia tidak dibuat secara tender terbuka.

“Kalau ada bukti, tidak perlu ‘menyalak’ di media setiap hari. Saya tidak mahu terlibat dalam tohmahan liar seperti ini,” katanya dalam sidang media sempena majlis pelancaran Bas Smart Selangor, hari ini.

Katanya, mengikut Akta SPRM 2009, mana-mana pihak yang memiliki maklumat terhadap sebarang dakwaan salah laku boleh mengemukakannya kepada pihak berkuasa.

“Buat sahaja laporan kepada SPRM dan tidak perlu cabar saya,” katanya lagi.

Semalam, Chegubard mendakwa memiliki dua dokumen rahsia Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang menunjukkan dua kawasan pembalakan di Selangor diberikan kepada dua syarikat tanpa menjalani proses tender terbuka.

Dia juga mencabar Azmin agar mengklasifikasikan semula dokumen itu sebagai bukan dokumen rahsia, supaya boleh mendedahkannya kepada orang awam.- FMT

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget