Fokus pembangunan luar bandar: Adenan Satem


KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menggesa Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) memberi penekanan kepada pembangunan luar bandar bagi meningkatkan taraf ekonomi rakyat terutama golongan miskin di negeri ini.

Berucap pada Majlis Ulang Tahun Ke-43 SEDC di sini malam kelmarin, Adenan berkata terdapat begitu ramai golongan miskin di negeri ini yang memerlukan bantuan daripada badan-badan korporat seperti SEDC.

“Saya tahu anda merupakan sebuah badan korporat yang membuat keuntungan, tetapi pada masa yang sama anda harus memberi perhatian kepada pembangunan luar bandar kerana terlalu ramai golongan miskin yang memerlukan bantuan anda,” tekannya.

Terdahulu dalam ucapan, Adenan turut memuji prestasi cemerlang SEDC sepanjang tempoh 43 tahun kewujudannya sebagai pemangkin pembangunan ekonomi di negeri ini.

“Kerajaan negeri amat berbangga dengan SEDC atas prestasi cemerlang serta sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi di negeri ini serta rakyat secara keseluruhannya.

“Sepanjang tempoh 43 tahun ini, SEDC terus berjaya dan saya berharap lebih banyak kejayaan akan dapat dicapai pada tahun-tahun akan datang,” ujarnya.

Pada majlis itu, Adenan turut mengingatkan SEDC agar bersedia untuk berhadapan dengan keadaan ekonomi negara, ASEAN dan dunia yang kurang baik pada masa ini dan akan menjadi lebih teruk jika ekonomi negara China jatuh.

“Jadi anda harus bersedia dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ini dan saya yakin SEDC telah bersedia untuk berhadapan dengan ekonomi buruk,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Adenan turut berharap agar SEDC akan berusaha lebih gigih lagi untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

“Pembangunan negeri memerlukan usaha yang gigih daripada semua pihak sama ada sektor swasta mahupun awam sejajar dengan Pelan Transformasi Sosioekonomi Sarawak (SETP) bermula 2016 hingga 2030.

“Di sinilah agensi seperti SEDC boleh memainkan peranan penting dalam negeri dengan pengalaman luas serta rekod cemerlang dalam pelaksanaan projek, SEDC boleh menyediakan dorongan bagi pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih baik,” katanya.

Pada majlis itu, Adenan turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 18 kakitangan SEDC yang telah menunjukkan prestasi cemerlang diikuti dengan penyampaian Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK).

Turut disampaikan ialah cek sumbangan bernilai RM8,400 daripada SEDC kepada Sarawak Children Cancer Society (SCCR).

Turut hadir, Pengerusi SEDC Datuk Talib Zulpilip yang juga Menteri Muda Pelancongan, Pengurus Besar SEDC Soerdirman Aini, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Morshidi Abdul Ghani serta yang lain.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget