SIBU: Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sibu Abdul Raafidin Majidi menegaskan bahawa PKR dan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka tidak akan berdiam diri selagi masalah banjir belum selesai.
Raafidin menerusi kenyataannya yang dikirimkan ke Utusan Borneo semalam, memberitahu bahawa beliau terus lantang bersuara bagi memastikan hak rakyat di kawasan DUN Nangka terbela.
Katanya adalah menjadi kewajipan kerajaan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Kami tidak akan berdiam diri selagi masalah banjir ini tidak diselesaikan,” ujarnya merujuk kepada kenyataan ADUN Nangka Dr Annuar Rapa’ee pada 15 Disember lalu supaya semua pihak berhenti mengungkit isu banjir.
Kawasan sering terjejas akibat banjir ialah Kampung Jeriah, Kampung Teku dan Kampung Salim.
Menurut Raafidin masalah banjir harus dipandang serius dan dicari jalan penyelesaian.
Katanya Dr Annuar perlu menghormati hak rakyat bersuara bagi meluahkan masalah dihadapi bukan menutup masalah berkenaan.
Hak bersuara rakyat jelas beliau telah dijamin dalam Perlembagaan Malaysia sejajar dengan semangat demokrasi.
“Sekiranya rakyat tidak dibenarkan bersuara dan hanya membisu setiap kali masalah berlaku sedangkan pihak wajib enggan menyelami masalah rakyat, di mana lagi rakyat hendak mengadu? “Adakah gelaran sebagai wakil rakyat sekadar gelaran atau amanah perlu dilaksana? Adakah rakyat harus memberi sokongan kepada seorang wakil rakyat yang tidak membenar rakyat menyuarakan masalah?” soalnya.
Tambah Raafidin, kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya mencanang projek sebegini ketika tiba musim pilihan raya, sedangkan kampung dalam DUN Nangka menghadapi banjir berkala sepanjang tahun.
Abdul Raafidin yang bakal bertanding di DUN Nangka mewakili PKR dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, bertegas tetap bersuara bagi memastikan rakyat DUN Nangka mendapat hak sepatutnya.
- Borneo Post Online
Post a Comment