KUCHING: Kerajaan telah meluluskan pembinaan sebuah lagi Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) iaitu di RGC Mid-Layar, Betong.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata sebagai permulaan kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM3 juta.
“Ia untuk kerja-kerja awalan di RTC tersebut yang akan bermula pada Januari 2016.
“Sementara sebuah RTC iaitu di Sibuti, Miri yang mula beroperasi 2 Januari tahun ini, telah berjaya menarik seramai 17,674 pengunjung,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada Persidangan DUN di sini, semalam.
Jabu berkata setakat 30 November 2015 sejumlah RM166,426 telah dijana daripada hasil jualan peniaga yang beroperasi di pasar tani RTC tersebut.
Menurutnya dalam tempoh yang sama, sebanyak 55 program telah dilaksanakan oleh pelbagai agensi seperti kursus, latihan jangka pendek, seminar dan mesyuarat di RTC tersebut dan memberi manfaat kepada 4,661 orang.
“Sehingga hari ini terdapat dua Kiosk Info 1Malaysia dan sembilan jabatan atau agensi telah beroperasi sepenuhnya di RTC.
“Ia adalah Jabatan Pendaftaran Negara, Majlis Daerah Subis, Klinik Pergigian, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sarawak, Majlis Amanah Rakyat, Jabatan Kemajuan Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Agro Bank,” katanya.
Mengenai Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) iaitu di Opar, Jabu berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan RM47 juta dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) untuk pembangunan RGC Opar.
Katanya bagi tahun 2016, sejumlah RM10 juta telah diperuntukkan untuk kerja-kerja penyediaan tapak dan infrastruktur asas di RGC tersebut.
Bagaimanapun kata beliau, cadangan pembinaan RGC di Long Semadoh telah ditangguhkan kerana kekangan kewangan kerajaan.
“Namun kerajaan akan terus melaksanakan pembangunan infrastruktur asas di kawasan berkenaan iaitu pembinaan Jalan Perhubungan Desa (JPD), penyediaan bekalan elektrik dan bekalan air alternatif selain Program Bantuan Rumah (PBR) dilaksanakan kepada penduduk yang layak.
“Selain itu, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri memperuntukkan sejumlah RM29.9 juta untuk pembangunan Program Rimbunan Kasih di RGC Sundar, Lawas,” katanya.
- Borneo Post Online
Post a Comment