PRN: BN Sarawak hanya guna formula satu lawan satu


KUCHING: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata hanya formula satu lawan satu antara calon BN dan pembangkang akan diguna pakai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata formula itu akan memudahkan pengundi memilih antara calon BN dan pembangkang, pada masa sama memastikan kemenangan besar buat BN.

“Sekiranya parti-parti ini, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP), Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) tidak mahu bertolak ansur sesama sendiri, sebagai ketua Barisan Nasional Negeri saya perlu membuat keputusan.

“Jika tidak mereka tidak boleh menggunakan lambang dacing (lambang BN),” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Kenyataan beliau itu sekali gus menyangkal spekulasi mengatakan beliau akan mengadaptasi formula digunakan semasa PRN 1983, menyaksikan pertarungan antara SNAP dengan PBDS dan parti yang menang akan menyertai BN.

“Kita tidak boleh menyamakan situasi ketika itu dengan sekarang kerana ketika itu tidak ada PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan DAP (Parti Tindakan Demokratik) tidak menonjol, hanya ada calon bebas.

“Sekarang parti ketiga ialah DAP atau PKR yang lebih serius mahu merampas kerusi daripada BN,” ujarnya sambil menambah, kemelut antara keempat-empat parti itu akan diselesaikan sebelum hari penamaan calon.

Mengulas lanjut mengenai formula satu lawan satu itu, Adenan yang juga Ketua Menteri berkata ia amat perlu untuk memastikan BN dapat memenangi sebanyak mungkin kerusi menyedari ia adalah cabaran utama dihadapi pada pilihan raya kali ini.

Adenan yang juga Ketua Menteri bagaimanapun amat yakin BN akan dapat membentuk semula kerajaan tetapi persoalannya sama ada dengan majoriti mudah atau sebaliknya.

“BN perlu menang sekurang-kurangnya 42 daripada 82 kerusi dipertandingkan untuk membentuk kerajaan dan sudah tentu untuk mencapai kejayaan itu kita perlu bekerja keras,” katanya.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget