SELANGAU: Pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) khususnya di kawasan Parlimen Selangau dinasihati supaya tidak mudah terperdaya dengan hasutan segelintir individu yang sengaja menggagalkan usaha murni kerajaan melaksanakan inisiatif baharu penyukatan perimeter tanah NCR.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, rakyat harus memahami manfaat diperolehi melalui pelaksanaan inisiatif itu yang membolehkan mereka mempunyai hak mutlak ke atas tanah berkenaan.
Katanya kerajaan menjalankan usaha murni menyukat tanah NCR secara percuma tanpa dikena sebarang bayaran perkhidmatan bagi membolehkan pemiliknya mempunyai hak mutlak ke atas tanah berkenaan.
“Akan tetapi terdapat segelintir pihak atau individu berniat jahat menghasut pemilik tanah NCR supaya tidak menyukat tanah mereka.
“Justeru, saya ingin menasihati pemilik tanah NCR supaya tidak mendengar propaganda pihak terbabit kononnya kerajaan merampas tanah rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Ansi Utong, Sungai Sepiring, Selangau, kelmarin.
Entulu yang juga Ahli Parlimen Selangau menasihati rakyat agar lebih memahami dasar dilaksana oleh kerajaan supaya tidak mudah terpengaruh dengan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan dakyah palsu sekali gus merugikan mereka.
Ujarnya, kerajaan sentiasa memastikan rakyat negeri ini khususnya di kawasan Parlimen Selangau turut sama menikmati pembangunan yang dilaksanakan kerajaan dan akan sentiasa bersama rakyat serta mendengar masalah rakyat.
“Setiap projek kerajaan dilaksana secara berperingkat-peringkat mengikut keutamaan dan keperluan.
“Justeru, rakyat harus memahaminya dan memanfaatkan setiap pelaksanaan projek kerajaan dengan sebaik-baiknya,” tegasnya.
Terdahulu, Entulu telah merasmikan Projek Bekalan Air Bersih Rumah Ansi.
Beliau turut menyampai geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM688,500 kepada 37 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin dan 23 JKKK dari kawasan DUN Kakus.
Selain itu, beliau turut menyampaikan Bantuan Bersih Sungai sebanyak RM43,750 secara keseluruhannya kepada seramai 35 penerima.
Turut hadir Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Adriana Chumang Nyambong, Pegawai Daerah Selangau Christopher Ranggau Unting, Pemanca Robert Nanta dan ketua masyarakat.
- Borneo Post Online
Post a Comment