KUCHING: Propaganda DAP yang disifatkan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang sebagai anti terhadap usaha kerajaan membangunkan luar bandar menerusi program-program pertanian tidak akan mematahkan semangatnya.
Jabu yang juga Menteri Pemodenan Pertanian berkata beliau akan terus memperjuangkan agenda pembangunan luar bandar di bawah panji-panji Barisan Nasional demi rakyat.
“Semua usaha yang saya lakukan untuk membangunkan komuniti luar bandar dalam meningkatkan taraf hidup mereka dan menambah baik pendapatan, tidak ada satu pun komen memberangsangkan daripada ahli-ahli DAP dalam Dewan ini.
“Tetapi mereka berulang kali memberi tekanan dan memberi petunjuk agar saya bersara.
“DAP mempunyai sikap mementingkan diri dan menindas yang amat lucu terhadap pembangunan luar bandar,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Pemodenan Pertanian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.
Menurutnya, beliau berulang kali setiap Persidangan Dewan Undangan Negeri sejak 19 tahun lalu menyalahkan DAP kerana bersikap menindas dan menekan pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) sejak 1996.
Sikap demikian katanya, mencerminkan DAP sengaja menidakkan hak Bumiputera untuk menyertai program-program pembangunan tanah yang dirancang kerajaan dengan matlamat meningkatkan taraf sosioekonomi pemilik tanah NCR.
“Sikap menindas dan menekan pada DAP tidak akan berubah. Inilah alasan kukuh mengapa masyarakat Bumiputera sentiasa menolak DAP.
“Penduduk luar bandar makin marah terhadap DAP dan PKR kerana pada Persidangan Dewan Undangan Negeri pada April 2015, DAP dan PKR membantah usul dibentangkan Ketua Menteri memohon Dewan ini meluluskan RM500 juta bagi membangun dan memperbaiki infrastruktur asas di luar bandar,” jelasnya.
Jabu berkata, antara kejayaan kerajaan atas inisiatifnya ialah Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) yang setakat ini telah membabitkan penyertaan 29,987 pemilik tanah untuk membangunkan lebih 51,000 hektar tanah NCR menjadi ladang kelapa sawit.
Sehingga kini, SALCRA telah mengisytiharkan lebih RM772 juta dividen kepada peserta program pembangunan tanah.
Dengan sikap negatif demikian juga, DAP katanya sengaja enggan memahami tanggungjawab dan peranan kementeriannya terhadap program-program jaminan makanan.
Bagi tujuan itu, antara lain, kerajaan sejak 2000 telah mengenal pasti kawasan-kawasan berpotensi untuk kajian bagi membangunkan kawasan pengeluaran padi berskala besar.
- Borneo Post Online
Post a Comment