Selesai segera masalah dalaman parti di Sarawak



KUCHING: Kebuntuan parti politik semasa di Sarawak tidak harus dilengah-lengahkan, sebaliknya perlu diselesaikan secepat mungkin, kata Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James Masing.

Beliau berkata, masalah yang dihadapi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) harus diselesaikan secepat mungkin, jika mahu peluang lebih baik dalam menentang Pakatan Rakyat 2.0 (PR2.0).

Menurutnya, meskipun PR1.0 tidak menjadi dan kini muncul pula Gerakan Harapan Baru (GHB) yang akan membentuk bersama PR2.0, ia tidak boleh dipandang rendah.

“Jika ia berlaku maka Barisan Nasional (BN) Sarawak akan berdepan dengan budak baharu, GHB. Ancaman yang ditimbulkan GHB di kawasan Muslim tidak diketahui.

“Kita tidak boleh memandang rendah GHB atau PR2.0 tidak akan menimbulkan ancaman serius di kawasan luar bandar.

“Maka parti-parti berasaskan luar bandar termasuk PRS dan SPDP perlu lebih berwaspada dan berusaha dengan lebih gigih,” katanya melalui aplikasi WhatsApp kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Beliau menegaskan, segala masalah dalaman parti di Sarawak sewajarnya diselesaikan segera untuk bersama-sama menentang PR2.0.

“BN Sarawak tidak boleh berlengah-lengah dalam usaha menyelesaikan kebuntuan politik ini, jika tidak ia akan berubah dan bertukar menjadi masalah yang lebih sukar untuk kita urus serta kawal,” kata Menteri Kemajuan Tanah itu.

Sementara itu semalam, melalui satu laman blog, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad memberitahu GHB sedia bertanding dalam PRN Sarawak tahun hadapan selepas tertubuhnya parti baharu dalam masa terdekat dan membentuk PR2.0 bersama DAP dan PKR.

“Pilihan raya negeri Sarawak kita buat keputusan akan bertanding,” katanya.

Khalid bagaimanapun berkata, buat masa ini calon dan agihan kerusi belum dibincangkan kerana mahu bina kekuatan organisasi terlebih dahulu. -Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget