Usaha ADUN Ngemah Berbaloi


KANOWIT: Berkat kesungguhan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent, rakyat kawasan Nanga Ngungun kini menikmati bekalan elektrik 24 jam.

Alexander Vincent
Sebelum ini, beliau membawa isu itu ke Persidangan DUN sejak 2014 untuk diaju kepada kementerian berkenaan.

“Semua ini menjadi nyata dan kita di Nanga Ngungun telah menikmati bekalan elektrik selama 24 jam seperti di kawasan bandar. Kemudahan ini hasil permintaan rakyat sendiri. Saya berusaha keras selama ini bagi memastikan rakyat di sini mendapat apa yang mereka mahukan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian bekalan elektrik 24 jam di Rumah Austin Kilat, Nanga Ngungun dekat sini, petang kelmarin.

Hadir sama ialah Pengurus Stesen/Luar Stesen Sibu Sarawak Energy Berhad (SEB) Andrew Nuga, Pegawai Penerangan Daerah Kanowit Wan Mohd Zuki Wan Ismail, Penghulu Ambrose Pengiran Sampai serta ketua-ketua masyarakat yang lain.

Alexander berkata, kemudahan elektrik 24 jam ini menunjukkan kerajaan negeri mengutamakan keperluan rakyat di kawasan luar bandar.

Menurut beliau, sebelum ini penduduk di Nanga Ngungun hanya menikmati bekalan elektrik selama 18 jam sehari iaitu dari jam 2 petang hingga jam 8 pagi.

“Bermula saat ini iaitu hari ini (Rabu), penduduk di Nanga Ngungun akan menikmati bekalan elektrik selama 24 jam. Ini satu lembaran baharu untuk warga Nanga Ngungun,” jelasnya lagi.

Beliau memberitahu bahawa Skim Penempatan Semula Nanga Ngungun mempunyai lebih kurang 30 rumah panjang dengan mempunyai 648 pintu penduduk di situ keseluruhannya.

“Selepas ini, penduduk harus membuat pertimbangan dan membalas jasa baik kerajaan,” tegasnya.

Bercakap mengenai pembangunan, Alexander memberitahu bahawa DUN Ngemah telah menikmati pelbagai pembangunan dan ia bakal bertambah lagi jika Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat.

Bagaimanapun, beliau menasihat rakyat agar tidak memarahi kerajaan jika mereka belum diberi atau menikmati projek berkenaan.

Jelasnya, segala projek ataupun peruntukan akan diberikan secara berperingkat dan ia tidak boleh diberikan sekali gus memandangkan sumber kewangan yang terhad.

“Saya memohon agar rakyat terus memberi mandat kepada kerajaan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekali gus membolehkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mentadbir untuk lima tahun lagi.

“Dalam masa lima tahun, kerajaan merangka pelbagai program pembangunan khususnya untuk penduduk di kawasan luar bandar,” tambahnya.

Terdahulu Andrew dalam ucapan aluannya, menyeru agar rakyat di Nanga Ngungun berjimat cermat menggunakan elektrik.

Ini kerana, katanya, bil dibayar setiap bulan tidak dapat menampung untuk kos membeli minyak bagi kegunaan Stesen Enjin Jana Kuasa Nanga Ngungun.

Menurutnya, stesen itu mengeluarkan kuasa elektrik sebanyak 525 kilowatt yang diguna oleh 648 pintu penduduk di Nanga Ngungun.

Jelasnya, semasa bekalan elektrik 18 jam sebelum ini, kos setahun untuk membeli minyak bagi kegunaan stesen itu adalah sebanyak RM800,000.

Selain stesen itu, ujarnya, SEB turut mempunyai stesen-stesen lain seperti di Jagau, Entawau dan Nanga Mujong.

- Borneo Post

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget