Pemimpin BN terlepas peluang tidak hadiri BERSIH 4


KUCHING: Pemimpin Barisan Nasional (BN) di negeri ini terlepas peluang bermakna atas ketidakhadiran mereka ke perhimpunan BERSIH 4 di Padang Song Kheng Hai kelmarin.

Jurucakap perhimpunan BERSIH 4 Karen Sheperd berkata mereka termasuk Tan Sri Datuk Amar James Masing bukan sahaja terlepas peluang untuk berjumpa dengan rakyat Sarawak malah ia lebih daripada itu.

“Ya, pada pendapat saya pemimpin BN memang terlepas sesuatu kerana tidak hadir ke perhimpunan ini semalam (29 Ogos).

“Sebenarnya, ini adalah peluang terbaik untuk mereka sama-sama menyuarakan apa yang terpendam dalam hati mereka mengenai keadaan dalam negara dan negeri kita ketika ini.

“Lebih penting, mereka (pemimpin BN) terlepas peluang untuk mendengar mesej yang disampaikan oleh rakyat serta menyelami apa yang dimahukan oleh rakyat di negeri dan negara ini,” dakwanya.

Karen berkata demikian ketika ditemui di lokasi perhimpunan semalam bagi mengemas dan membersihkan sampah serta peralatan yang digunakan bersama jawatankuasa penganjur yang lain.

Ditanya mengenai perhimpunan itu, Karen berkata secara keseluruhannya ia berjalan dengan lancar dengan cara yang aman dan demokratik.

Meskipun perhimpunan dihentikan tengah malam kelmarin atas pelbagai sebab, namun menurut Karen perhimpunan ini berjaya mencapai apa yang dimahukan.

“Kami telah memutuskan untuk menghentikan perhimpunan ini tengah malam tadi (kelmarin) atas pelbagai sebab dan salah satu daripadanya ialah kami telah mencapai apa yang kami mahu capai.

“Meskipun berlaku masalah teknikal dan komunikasi namun apa yang lebih penting ialah mesej daripada perhimpunan BERSIH 4 ini telah berjaya disampaikan kepada kerajaan pusat dan negeri.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberi kerjasama dalam memastikan kelancaran perhimpunan ini terutama pihak polis,” ujarnya.

Dalam pada itu, Selasa ini pihak jawatankuasa penganjur BERSIH 4 akan menurunkan semua tandatangan yang diterima untuk dihantar kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.-Utusan Borneo
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget