BERSIH 4.0 Dibenarkan di Kuching


KUCHING: Pihak polis tidak akan mendirikan sebarang halangan sekali gus membenarkan penganjuran perhimpunan BERSIH 4.0 diadakan di padang Song Kheng Hai di sini dengan mematuhi beberapa syarat ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad dalam satu kenyataan semalam berkata, pihaknya menerima salinan surat daripada Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dialamatkan kepada penganjur BERSIH 4.0 Nicholas Anson.

Menurut beliau, ia berkenaan dengan kebenaran penggunaan padang Song Kheng Hai sebagai tapak perhimpunan BERSIH 4.0 yang dijadual diadakan pada 29 hingga 30 Ogos ini.

“Ekoran kelulusan tersebut pihak polis tidak akan mendirikan sebarang halangan sekali gus membenarkan perhimpunan tersebut tertakluk kepada beberapa syarat lain yang mesti dipatuhi oleh pihak penganjur semasa mengadakan perhimpunan itu.

“Antaranya termasuk perhimpunan hendaklah statik dan tidak dibenarkan sebarang perarakan, tidak dibenarkan membawa kanak-kanak dan lain-lain syarat seperti dinyatakan dalam syarat-syarat yang telah diserahkan kepada penganjur pada 20 Ogos 2015,” ujarnya.

Selain itu, kata Roslan, peserta perhimpunan dinasihat untuk meletakkan kenderaan di tempat-tempat yang dikhaskan serta memastikan tidak menghalang perjalanan lalu lintas.

Beliau berkata, pihak polis juga menasihatkan penganjur untuk mengawal perilaku para peserta perhimpunan supaya tidak melanggar sebarang undang-undang dan peraturan yang sedang berkuat kuasa.

“Para peserta juga diingatkan supaya mematuhi setiap arahan pihak polis bagi menjamin kelancaran perhimpunan tersebut dan untuk menentukan supaya tidak berlaku sebarang perkara tidak diingini yang boleh menggugat keselamatan awam dan negara,” tegas Roslan.

- Borneo Post
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget