PAS Sarawak prihatin isu udara busuk, air tercemar DUN Lambir

Penduduk lima kampung berdepan masalah pencemaran air sungai, udara dari tapak pelupusan sampah

MIRI: Kira-kira 6,000 penduduk lima kampung di Bekenu terpaksa berdepan masalah pencemaran air sungai dan udara (bau busuk) akibat pembinaan tapak pelupusan sampah berdekatan perkampungan tersebut sejak 10 tahun lalu.

Penduduk kampung-kampung terjejas iaitu Subak, Kejapil, Keluru Tengah, Opak dan Satap mendakwa mereka bukan sahaja terpaksa menghidu bau busuk apabila tiupan angin menghala ke kampung mereka malah anak Sungai Subak yang dahulunya sumber air mereka kini sudah tidak dapat digunakan.

Lebih memburukkan keadaan apabila loji rawatan air dibina untuk merawat air kolam takungan di tapak pelupusan sampah terbabit tidak beroperasi, menyebabkan air dari kolam takungan tercemar itu melimpah masuk ke Sungai Subak dan mencemari sumber air penduduk kampung terutama apabila hujan.

Apa yang membimbangkan anak Sungai Subak tercemar air takungan tapak pelupusan sampah itu turut mengalir masuk ke sungai utama iaitu Sungai Bekenu sekali gus mengancam kesihatan penduduk di situ.

“Kami bimbang masih ramai penduduk di Bekenu mungkin tidak sedar mengenai perkara tersebut dan masih mendapatkan sumber air dari Sungai Bekenu yang pastinya turut tercemar,” kata Ketua Pemuda PAS Sarawak Mohammad Arifiriazul Paijo pada sidang media di sini semalam.

Sehubungan itu, PAS yang melakukan tinjauan ke kawasan tapak pelupusan sampah itu bersama beberapa penduduk kampung Khamis lalu, turut mengambil sampel air sungai dipercayai tercemar untuk dihantar kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya dianalisis bagi mengetahui tahap pencemarannya.

BERBAU DAN TERCEMAR: Kolam takungan air dari sampah-sarap di tapak pelupusan sampah tersebut sepatutnya dirawat terlebih dahulu sebelum dilepaskan ke dalam sungai.
BERBAU DAN TERCEMAR: Kolam takungan air dari sampah-sarap di tapak pelupusan sampah tersebut sepatutnya dirawat terlebih dahulu sebelum dilepaskan ke dalam sungai.
“Kami turut membuat laporan kepada JAS di sini dan menghantar sampel itu agar diuji bagi tahap pencemarannya,” jelas beliau.

“Penduduk memberitahu air sungai dahulunya jernih kini bertukar tidak ubah seperti air teh dan apabila memasukkan kaki ke sungai itu walaupun seketika dapat rasa kesan gatal-gatal,” tambahnya.

Katanya PAS dan penduduk dari kelima-lima kampung terbabit mahu jawapan pihak berkuasa berkaitan berhubung isu pencemaran sungai itu.

“Malah, penduduk turut mengemukakan aduan kepada kami bahawa mereka mahu tapak pelupusan sampah yang beroperasi sejak 10 tahun lalu di kawasan itu turut dipindahkan.

“Kami difahamkan penduduk kampung pernah berdialog berhubung isu itu dengan wakil rakyat kawasan tersebut dan menteri berkaitan namun maklum balas diterima mereka menyatakan tapak pelupusan itu akan dipindahkan tetapi tidak dinyatakan ke mana dan bila,” jelasnya.

Arifiriazul berkata, PAS mahu kerajaan negeri memberi perhatian kepada perkara tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya agar tidak berlarutan sehingga menimbulkan kesukaran kepada penduduk di kawasan terbabit.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai berkata projek bernilai RM24 juta itu sepatutnya dijadualkan siap pada Disember 2012 namun disebabkan beberapa masalah teknikal menjadikan projek itu hanya siap awal 2014.

“Justeru, sebaik siap projek tersebut harus diserahkan kepada MBM oleh kontraktor tetapi apabila MBM menjalankan ujian ke atasnya mendapati banyak masalah belum diselesaikan dan berlaku kebocoran serius.

“Atas nasihat JAS dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), MBM menolak menerima projek itu sebaliknya mengarahkan kontraktor mengatasi segala masalah dan menyempurnakan projek itu dengan menepati piawaian yang ditetapkan,” jelas Lai.

Bagaimanapun, janji kontraktor mahu menyiapkan projek tersebut pada Julai lalu masih belum ditunaikan dan tiada tanda-tanda usaha mahu menyempurnakan projek itu dan memperbaiki masalahnya.-Utusan Borneo


Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget