Tiada Ahli Parlimen BN Sarawak terlibat

Adenan tegaskan mustahil Ahli Parlimen dari Sarawak mahu gulingkan kerajaan

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sekali lagi menegaskan tiada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sarawak terlibat dalam gerakan menggulingkan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya boleh memberi jaminan tidak ada Ahli Parlimen BN dari Sarawak terlibat dalam usaha menjatuhkan kerajaan,” tegasnya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau yang ditemui selepas merasmikan Persidangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Dunia 2015 memberitahu demikian apabila ditanya mengenai khabar angin mengatakan beliau mengetuai Ahli Parlimen dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menandatangani surat aku janji setia kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Adenan yang juga Presiden PBB dan Pengerusi BN Negeri bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Saya tidak akan mengulas mengenai perkara itu buat masa ini,” tegasnya.

Ditanya sama ada surat aku janji itu turut ditandatangani oleh Ahli Parlimen dari parti komponen BN yang lain, Adenan berkata beliau tidak boleh bercakap bagi pihak parti lain.

“Saya hanya mengambil berat terhadap PBB. Saya tidak boleh mengulas bagi pihak lain. Tetapi saya boleh mengesahkan tidak ada Ahli Parlimen terlibat dalam usaha menjatuhkan kerajaan,” ujarnya lagi.

Sebelum ini pada satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB, Adenan memberitahu perkara sama.

Malah, tegasnya, Ahli Parlimen BN dari Sarawak tidak mungkin terlibat dalam komplot yang dipercayai didalangi seorang tokoh UMNO, juga pemimpin BN bersama pembangkang.

Adenan menjelaskan, baginya adalah mustahil Ahli Parlimen dari Sarawak terlibat dalam usaha menggulingkan kerajaan sendiri.

Isu wujudnya satu gerakan mengguling kerajaan didedah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilian UMNO Bahagian Ampang di Kuala Lumpur.

Dalam pendedahannya, Zahid berkata rancangan itu dijalankan dengan cara mendapatkan akuan  bersumpah Ahli Parlimen pembangkang serta menarik Ahli Parlimen BN menyokong gerakan untuk menumbangkan kerajaan melalui jalan belakang.

Malah, Zahid difahamkan bahawa 87 Ahli Parlimen pembangkang berserta seorang Ahli Parlimen bebas sedang berusaha memujuk Ahli Parlimen BN agar menyokong gerakan didalang seorang tokoh UMNO yang juga pemimpin BN.

Ahmad Zahid bagaimanapun enggan mendedah nama tokoh terbabit dan percaya peguam kumpulan terbabit sedang menyediakan memorandum tujuh muka surat kertas kuning berserta akuan bersumpah dengan menyatakan kononnya mendapat suara majoriti menggulingkan kerajaan. -Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget