PAS putuskan tak kerah ahli sertai himpunan BERSIH 4

Menurut Takiyuddin, tarikh himpunan BERSIH 4 yang hanya selang sehari dengan tarikh sambutan Hari Kebangsaan 2015 pada 31 Ogos juga dirasakan tidak sesuai untuk menyertai himpunan. - Foto arkib TRP/Adnan Mohamad.
KUALA LUMPUR : PAS hari ini bertindak melawan arus berbanding parti pembanghkang lain dengan mengambil keputusan tidak mengerahkan anggotanya menyertai himpunan BERSIH 4 pada 29 hingga 30 Ogos ini.

Setiausaha Agung parti itu, Datuk Takiyuddin Hassan dalam kenyataan beliau hari ini berkata, keputusan itu diambil kerana PAS sedang bersedia untuk mengadakan satu program besar iaitu Kongres Rakyat yang dijadual berlangsung 12 September ini yang melibatkan pelbagai pihak.

“Maka PAS beranggapan seluruh komitmen sumber dan organisasi parti wajar digerakkan secara menyeluruh pada 12 September ini.

“PAS juga akan menganjurkan himpunan 60 ribu pada 17 Oktober ini yang sedang giat direncanakan,” kata Takiyuddin dalam kenyataan rasmi beliau itu yang dipetik oleh portal berita rasmi PAS, Harakahdaily.

Selain itu, kata Takiyuddin, tarikh himpunan BERSIH 4 yang hanya selang sehari dengan tarikh sambutan Hari Kebangsaan 2015 pada 31 Ogos juga dirasakan tidak sesuai untuk menyertai himpunan.

Turut dijadikan alasan ialah tarikh himpunan Bersih 4 bertembung dengan beberapa program PAS yang lain termasuk siri jelajah “Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden” dan “Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan” yang sudah dijadualkan berlangsung di negeri-negeri pada setiap Sabtu dan Ahad hingga 3 Oktober depan.

Bagaimanapun Takiyuddin berkata PAS komited untuk turut memperjuangkan tuntutan demokrasi yang adil sebagaimana yang disuarakan BERSIH sama seperti sebelum ini.

“Justeru, PAS akan menghantar wakil ke himpunan berkenaan sebagai tanda sokongan kepada tuntutan BERSIH terutama dalam aspek sistem pilihan raya yang lebih telus dan adil,” katanya lagi.

Namun dalam masa yang sama PAS berpendirian ketenteraman awam serta kestabilan negara mestilah dijaga dan menjadi tanggungjawab semua pihak, tegasnya Takiyuddin.

PAS sebelum ini turut memainkan peranan penting dalam hampir setiap perhimpunan besar parti atau akktivis pembangkang termasuk mengerahkan pasukan Unit Amal mereka.

- The Rakyat Post

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget