Bahagian Limbang bakal lakar sejarah tersendiri


BERSEMANGAT: Antara kontinjen yang mengambil bahagian pada perarakan Isnin ini.
65 kontinjen, lebih 3,000 peserta akan sertai perarakan Hari Kebangsaan Ke-58 Peringkat Negeri esok
LIMBANG: Kompleks Sukan Limbang akan mencipta sejarah sendiri apabila bakal dihadiri 65 kontinjen membabitkan lebih 3,000 peserta daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta pada perarakan Hari Kebangsaan Ke-58 Peringkat Negeri, Isnin ini.

Perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-58 itu dijangka bermula seawal jam 7 pagi.

Acara akan didahului dengan pemeriksaan kawalan kehormat oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, diikuti nyanyian lagu Negaraku, bacaan ikrar dan nyanyian koir.

Ribuan warga Limbang dijangka berkumpul di Kompleks Sukan bagi menyaksikan perarakan itu kelak.

Pelbagai acara disusun pada sambutan kali ini termasuk perbarisan pasukan keselamatan, pertunjukan gerak gempur, pertunjukan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pertunjukan tempur tanpa senjata Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Turut dijangka hadir ialah isteri Tun Taib, Toh Puan Datuk Seri Ragad Kurdi Taib, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan isteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu serta kenamaan lain.

Sementara itu, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyaksikan raptai penuh sambutan itu di Kompleks Sukan Limbang semalam.

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail melahirkan kesyukuran atas penghormatan yang diberikan kepada Bahagian Limbang menjadi tuan rumah acara penuh bersejarah itu.

“Kita berterima kasih kepada kerajaan atas penghormatan ini dengan harapan agar sambutan ini terus melonjakkan semangat kemerdekaan dan kecintaan kepada negara.

“Ini kerana untuk julung kalinya kita dapat menyertai secara langsung acara yang selama ini hanya diikuti menerusi media,” tambahnya.

Malah, beliau menegaskan ini juga penting dalam menghadapi alaf baharu untuk terus memerdekakan minda agar tidak dijajah dalam konteks dunia hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Misnu Taha berpuas hati dengan segala persiapan dan menegaskan semangat ketaatan kepada negara telah terbukti mengatasi segalanya walaupun Limbang diberi amanah untuk menjadi tuan rumah acara berkenaan buat kali pertama selain, kedudukan di hujung negeri ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah dan ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang.

Terdahulu, lebih 2,000 peserta menyertai Larian Merdeka di Dataran Jubli Emas yang bermula seawal jam 7 pagi.

- Borneo Post Online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget