KUALA LUMPUR - Perhimpunan haram Bersih 4.0 yang berlangsung sejak semalam sehingga malam ini telah menjejaskan pendapatan golongan peniaga di sekitar ibu kota.
Antara kawasan perniagaan yang paling terjejas adalah di Jalan Masjid India, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid Jamek.
Golongan tersebut rata-rata merungut apabila penganjuran perhimpunan tersebut telah menyebabkan pelanggan mereka ‘lari’.
Peniaga barangan kulit di Jalan Masjid India,Eni Agus, 48, berkata, beginilah nasib golongan peniaga di kawasan tersebut setiap kali perhimpunan jalanan dianjurkan.
Dia yang telah menjalankan perniagaan itu sejak 17 tahun lalu memberitahu, orang ramai yang selalunya mengunjungi kawasan tersebut pada setiap hujung minggu berkemungkinan enggan berbuat demikian kali ini atas sebab keselamatan.
“Selalunya, setiap hujung minggu saya mendapat kira-kira RM500, tetapi apabila ada Bersih ini, hendak dapat RM50 pun susah.
“Kita berniaga kecil-kecilan, jadi memang bergantung kepada pelanggan hujung minggu, tetapi sejak Bersih ini diadakan, kita tiada pendapatan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, peniaga kerongsang, Ahmad Fikri Cuhpoh, 25, berkata, Bersih 4.0 mewujudkan ketakutan kepada orang ramai untuk meneruskan aktiviti hujung minggu mereka.
“Orang ramai takut ke pusat bandar untuk membeli-belah. Ini semua kerana Bersih 4.0 dan kami sebagai peniaga menerima kesannya,” katanya.
Perkara sama ditegaskan peniaga kemeja,Azhar Sabiah, 33, yang berpendapat, secara jelas, perhimpunan seumpama itu memberi kesan kepada golongan peniaga kecil-kecilan sepertinya.
“Hujung minggulah waktu orang ramai membeli-belah dan hujung minggulah mereka memilih untuk mengadakan perhimpunan jalanan. Bagaimana kita hendak mendapat pendapatan?” soalnya.
- Utusan Online
Post a Comment