Peruntukan akan dinaik setiap tahun di bawah Dana Bantuan Pembangunan Khas
KUCHING: Peruntukan kepada sekolah persendirian Cina di negeri terus disalur dan dinaik setiap tahun di bawah Dana Bantuan Pembangunan Khas.
Menteri Kewangan II Dato Sri Wong Soon Koh berkata perkara itu juga dijanji Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bagi membantu sekolah persendirian Cina di negeri ini.
“Dalam prosedur kerajaan negeri, terdapat Dana Bantuan Pembangunan Khas terletak di bawah pejabat Ketua Menteri.
“Ketua menteri yang menentukan amaun untuk diberi kepada mana-mana badan keagamaan, sekolah dan sebagainya.
“Maka bagi tahun depan, sebanyak RM5 juta disalurkan kepada sekolah persendirian Cina dan Ketua Menteri berjanji untuk menaik jumlahnya setiap tahun,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.
Bermula 2013, Adenan memberikan sebanyak RM3 juta kepada 14 sekolah Cina di negeri ini dan menambah kepada RM4 juta pada tahun ini.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending Violet Yong berkata amat kecewa kerana tidak ada peruntukan dibuat bagi sekolah persendirian Cina dalam Bajet Negeri 2016.
Malah, katanya, peruntukan tersebut juga boleh berhenti jika Adenan bersara dan digantikan dengan Ketua Menteri baharu.
Justeru, beliau menegaskan agar kerajaan negeri mengikuti langkah Pulau Pinang dan Selangor yang menggabungkan peruntukan tahunan kepada sekolah-sekolah di negeri mereka sama ada sekolah persendirian Cina dan sekolah mubaligh di dalam bajet tahunan negeri.
“Oleh itu, apa yang Ketua Menteri perlu lakukan adalah pembaharuan dasar dan bukan membuat janji-janji mulut.
“Biarlah ia menjadi warisan beliau yang meninggalkan kebaikan kepada generasi masa depan kita,” katanya menerusi ucapan Rang Undang-Undang Perbekalan (2016) pada persidangan DUN, semalam.
- Borneo Post Online
Post a Comment