KUCHING: Kerajaan negeri mengamalkan dasar campur tangan pasaran dalam keadaan tertentu bagi menangani dan mengawal kenaikan harga rumah di negeri ini.
Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan melibatkan pendekatan pelbagai dimensi bagi membolehkan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana dapat memiliki rumah sendiri.
“Antara langkah yang diambil kerajaan negeri ialah melaksanakan dasar untuk mengawal harga bagi dua kategori rumah yang sedang dibangunkan iaitu rumah kos rendah dan sederhana rendah.
“Harga siling bagi rumah kos rendah ditetapkan pada RM50,400 untuk unit tengah dan RM59,220 untuk unit tepi, manakala rumah kos sederhana rendah pula ditetapkan pada RM80,000 (unit tengah) dan RM100,000 (unit tepi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari BN-Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi dan BN-Lambir Ripin Lamat pada persidangan ketiga bagi penggal kelima Dewan Undangan Negeri Ke-17 di sini semalam.
Selain itu, Abdul Karim memberitahu kerajaan turut meningkatkan bekalan rumah melalui pelaksanaan projek dan program perumahan awam termasuk dengan pe-nyertaan sektor swasta.
Tegasnya, langkah itu dapat membantu menstabilkan harga rumah bagi memboleh-kan golongan berpendapatan rendah dan menengah dan mereka yang baru bekerja untuk memiliki rumah.
Malah, menurutnya lagi, kerajaan juga menggalakkan penggunaan Industrialised Building System (IBS) dalam pembinaan rumah dan projek perumahan seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Program Mesra Rakyat (PMR) di Sarawak.
“Kaedah IBS ini dapat me-ngurangkan kos pembinaan projek perumahan awam,” tambahnya lagi.
Pada masa sama Abdul Karim menjelaskan strategi untuk menangani kenaikan harga rumah tersebut juga melibatkan pelaksanaan dasar fiskal dan kewangan di peringkat persekutuan.
“Dalam hal ini, kerajaan persekutuan telah meningkatkan kadar Cukai Keuntungan Hartanah yang mana penjualan semula hartanah dalam tempoh tiga tahun dikenakan cukai sebanyak 30 peratus,” katanya.
Selain itu, jelasnya Bank Negara telah menetapkan bahawa bagi pinjaman perumahan rumah ketiga, peminjam hanya dibenarkan untuk mendapatkan pinjaman perumahan maksimum nisbah nilai pinjaman (LTV) iaitu 70 peratus.
“Kadar LTV ini akan dapat mengawal aktiviti pelaburan hartanah dan spekulasi yang berlebihan kerana mereka perlu mendahulukan 30 peratus dari kos harga rumah dengan wang sendiri,” ujarnya.
- Borneo Post Online
Post a Comment