Tangkap aktivis #Langkahsiswa langgar prinsip kebebasan berhimpun


Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak polis menangkap 16 orang mahasiswa malam semalam dihadapan bangunan Parlimen – sebuah mercutanda simbolik institusi demokrasi negara kita. Lebih disesali apabila proses tangkapan melibatkan salah seorang daripada mereka yang mengalami kecederaan.

Tindakan pihak polis malam semalam sama sekali tidak menghormati hak Perlembagaan yang telah termaktub dalam Artikel 10. Tambahan, tangkapan mereka di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan adalah tidak munasabah sama sekali. Saudara Eric Paulsen berpendapat bahawa Seksyen tersebut seharusnya dikhaskan buat teroris bersenjata seperti di dalam kes melibatkan gerakan Al Maunah; bukan sekumpulan pelajar yang berkhemah sedang membaca bahan ilmiah tanpa senjata di luar Parlimen!1

Parlimen adalah satu simbol demokrasi rakyat dan kini pihak penguasa telah diarahkan untuk melanggar perlembagaan persekutuan di hadapan badan legislatif negara – suatu tindakan yang mencemar prinsip demokrasi Malaysia.

Kini sudah jelas kesemua institusi-institusi negara sudah dirobek. Saya percaya kesemua mahasiswa itu hanya mahukan jawapan dan kebenaran daripada Perdana Menteri Najib Razak; akan tetapi yang mengecewakan jawapan yang diberikan ialah lokap dan tindakan agresif daripada pihak polis.

Lebih malang lagi apabila insiden tangkapan dibandingkan dengan layanan berat sebelah pihak berkuasa kepada demonstrasi bersenjata kumpulan anti-Bersih yang diketuai oleh Jamal Md Yunos semalam di SOGO yang memberikan ancaman keganasan kepada bakal peserta Bersih. Apakah ancaman seperti ini tidak diambil berat oleh Polis dan pihak berkuasa?

Saya menganggap ini suatu komplot kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat untuk tidak bangun bangkit menentang gejala korupsi yang semakin parah ketika ini. Polis yang seharusnya menjadi benteng mempertahankan rakyat, sebaliknya menjadi alatan tangan-tangan tersembunyi untuk meneruskan agenda pemusatan kuasa. Ingin saya mengingatkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya berhenti menjadi alat pengongkongan demokrasi, dan berhenti memburu para pengkritik kerajaan yang hanya menggunakan kebebasan yang telah termaktub dalam Artikel 10, Perlembagaan Malaysia.

Pimpinan yang waras dan beretika akan cuba sedaya upaya meyakinkan segenap masyarakat tentang apa saja perkara membangkit dengan cara rundingan berhemah dan menurut semangat undang-undang yang murni. Bukannya dengan kekerasan yang berlindung disebalik penguatkuasaan undang-undang.

Insiden ini telah memberi satu isyarat kepada rakyat bahawa pada saat yang getir ini rakyat perlu bersatu padu dan menyatakan hak mereka kerana keadaan kini sudah semakin parah dengan ringgit yang jatuh menjunam, kos sara hidup yang tinggi dan ekonomi yang tidak stabil.

Gesaan saya adalah supaya rakyat terbanyak jangan sia-siakan usaha awal yang dimulakan oleh #LangkahSiswa ini! Mari sama-sama turun pada 29 haribulan ini untuk menuntut hak kita!

Nurul Izzah Anwar

Ahli Parlimen Lembah Pantai

Naib Presiden merangkap Pengarah JPRP KEADILAN




-Keadilan Daily

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget