BUKAN main garang dan berani lagi Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang baharu diberi amanah untuk menyiasat skandal 1MDB bersama Peguam Negara Tan Sri Gani Patail, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti dan Ketua SPRM Tan Sri Abu Kassim.
Ketika Gani Patail dipecat, TS Abu Kassim cuti menjalani rawatan dan TS Zeti tidak kedengaran, yang lantang menjalankan kerja penyiasatan ialah KPN TS KHALID.
Antara tumpuannya ialah pegawai-pegawai SPRM. Orang-orang 1MDB tidak disentuh lagi, tetapi ramailah orang-orang SPRM disiasat. Orang-orang SPRM itu kerjanya selama ini menyiasat sesiapa yang disyaki jenayah rasuah. Tetapi dalam perkembangan terbaru terutama selepas PM diberitakan beroleh duit harta qarun yang menjadikannya bilionawan, SPRM dan pegawainya pula disiasat.
Banyak takwil terhadap tindakan KPN itu tetapi ditepis semuanya dengan alasan dia hanya menjalankan amanah yang diberi kepadanya dan dia tidak kira siapa dalam menjalankan amanahnya itu.
Tidak ada orang yang senang dengan tindakannya itu. Masing-masing yang bebas boleh memberi pandangan secara terbuka menyatakan tidak puas hati dengan kerjanya itu dan mana-mana yang terkena sindrom bisu dan ulama bisu, berkata-kata dalam hati. Dari nisbah orang beriman, yang hanya mampu berkata dalam hati adalah orang yang paling lemah imannya.
Orang terus menyelar tindakan polis itu. SPRM yang sebelumnya banyak dicemuh masyarakat, tiba-tiba jadi agensi yang popular, disokong dan dibela oleh banyak pihak seolah-olah ia jadi ganti DS Anwar Ibrahim. Sebelum dipenjara sekali lagi, DS Anwarlah dipertahan oleh masyarakat sivil. Kini giliran SPRM dijunjung oleh semua.
Dalam suasana tidak popular itu kerajaan yang sakit dan gila itu bertindak menukarkan dua pegawai kanan SPRM ke Jabatan Perdana Menteri serta merta sedang kedua-duanya ada terkenal tegas hendak menyoal perdana menteri.
Marah kepada KPN belum reda, maka bertambah marah semua kepada kerajaan. Beban marah itu tidaklah ditanggung oleh polis saja, seolah-olah ringan bebannya kerana kerajaan khususnya Jabatan Perdana Menteri kena marah juga.
Marah kepada JPM itu tidak merendahkan marah kepada polis. JPM pikul kemarahan yang berat dan marah kepada polis tidak sedikitpun berkurangan.
Orang mulanya rasa KPN yang ada itu sama garang dengan KPN Rahim Nor yang membalun Anwar ketika mata ditutup dan tangan digari belasan tahun lalu. Rahim dikenali garang. Khalid pun lantang juga.
Tiba-tiba apa jadi? Bengkeng Khalid jadi macam keras kerak. Kerak yang keras apabila kena kuah tidak keras sangat. Justeru persepsi orang terhadap kerajaan disebabkan oleh tindakan polis itu, tiba-tiba Khalid mengumumkan penyiasatan terhadap SPRM dan pegawai-pegawainya dihentikan dulu – entah sekejap dan entah selama-lamanya.
Tadi dia dilihat tegas dan berani sangat. Apabila tengok ia tidak popular, ia tidak teruskan. Mengapa? Orang tegas, dia teruskan tindakannya sekali pun orang marah kerana tidakannya sepatut betul dan tegas. Orang yang tegas yang rasa tindakannya betul, dia tidak tarik balik. Biasanya orang tegas apabila ditentang ramai, bagi mempertahankan ketegasannya dia letak jawatan.
Adakah justeru PM batuk dengan kejadian itu, dihentikan sasaran terhadap SPRM. Sehari dua kemudian, Ketua Setiausaha Negara TS Ali Hamsa pula panggil dua pegawai SPRM yang ditukar serta-merta ke JPM, disuruhkannya balik ke SPRM. Tak sempat masuk bilik dan duduk di meja baru, dikehendaki semua di SPRM.
Ia adalah tanda kerajaan amat sakit dan gila tetapi tidak boleh dihantar ke Tanjung Rambutan. – HARAKAHDAILY
Post a Comment