Rakyat Sarawak bebas amal agama, kepercayaan masing-masing: Adenan



SERIAN: Rakyat pelbagai kaum dan keturunan di Sarawak bebas mengamalkan agama serta kepercayaan masing-masing termasuk penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam al-Kitab Kristian, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

“Saya mahu memberi jaminan, sebagai Ketua Menteri yang beragama Islam, anda bebas mengamalkan agama masing-masing mengikut cara tiap-tiap orang.

“Rakyat Kristian bebas menggunakan perkataan ‘Allah’ dalam al-Kitab. Ini Sarawak bukannya Semenanjung Malaysia. Setiap kita ada agama kita sendiri dan kita menghormati agama lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan hampir 1,000 penduduk Serian yang majoritinya Kristian pada Majlis Penyampaian Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri (di bawah Inisiatif Baharu Tanah Hak Adat Bumiputera) di Dewan Masyarakat Serian di sini semalam.

Adenan menambah, walaupun penduduk Sarawak terdiri daripada hampir 40 kumpulan etnik tetapi masih boleh hidup aman damai sejak dahulu lagi disebabkan sikap toleransi yang tinggi dalam kalangan rakyatnya.

“Agama saya (adalah) agama saya. Agama kamu (adalah) agama kamu dan kita akan kekal hidup aman.

“Jangan ikut seperti di Semenanjung Malaysia, tiap-tiap hari bergaduh…kekalkan keamanan dan keharmonian kaum, juga agama yang telah kita semai berpuluh tahun lalu,” katanya.

Menurut Adenan lagi, walaupun beliau berbangsa Melayu dan beragama Islam, sebagai Ketua Menteri, beliau Ketua Menteri kepada semua kaum – Melayu, Iban, Bidayuh, Cina dan Orang Ulu.

Sementara itu Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin yang turut berucap pada majlis itu berkata rakyat Serian harus memberi mandat penuh kepada Adenan untuk terus memimpin Sarawak untuk lima tahun lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata ia sebagai membalas jasa Ketua Menteri memperkenalkan dasar-dasar baharu yang terbukti memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.

“Saya mahu kaum Bidayuh dari Serian, Padawan, Penrissen, Bau dan Lundu memberi mandat besar lima tahun lagi kepada Datuk Patinggi Tan Sri Adenan.

“Mandat besar ini kita berikan dengan memastikan semua calon Barisan Nasional (BN) lebih-lebih lagi di kawasan Bidayuh menang pada pilihan raya nanti,” ujar Manyin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget