Dengan muka buminya yang luas serta rakyat yang telah kuat berpegang kepada adat resam dalam kehidupannya, dakwah Islaiyah di Sarawak sememangnya sangat mencabar. Wartawan Harakah, IZWAN ABDUL HALIMmenemubual Ketua Ulama PAS Negeri Sarawak, Ustaz Abdul Halim Abdul Kadirmembedah peranan mereka dalam mengembangkan Islam di negeri itu..
HARAKAH: Bagaimana ustaz melihat perkembangan dakwah Islamiyah di bumi Sarawak?
USTAZ ABDUL HALIM: Firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 8 bermaksud, “Wahai orang-orang beriman, jadilah kamu sebagai penegak kebenaran ketika menjadi saksi kerana Allah. Dan janganlah kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Meneliti setiap perkara yang kamu kerjakan”. Sebagai satu-satu negeri di Malaysia yang masyarakat Islamnya adalah minoriti, saya melihat perkembangan Islam di Sarawak buat masa ini adalah sangat baik. Dibandingkan tempoh 10 tahun yang lalu, Islam pada hari ini, sudah mula diterima oleh masyarakat di Sarawak ini sebagai agama untuk semua kaum. Sebagai contoh, dahulu, apabila seorang bukan Islam memeluk Islam, mereka akan mengatakan bahawa “dia telah masuk Melayu” seolah-olah Islam adalah untuk orang Melayu sahaja. Hari ini fenomena seperti itu tidak berlaku lagi. Kefahaman demi kefahaman yang diberikan oleh para pendakwah Islam termasuk di kalangan Ulama PAS, akhirnya hari ini, lahirlah masyarakat yang tidak lagi ‘alergik’ dengan Islam. Malah mereka sudah mula menerima bahawa Islam adalah agama untuk semua kaum. Tinggal lagi, bagaimana cara kita mendekati mereka untuk menjelaskan asas perjuangan PAS yang sebenarnya. PAS bukan sahaja sebuah parti politik, bahkan sebagai wadah dakwah dan tarbiyah. Maka PAS hendaklah menjadi pilihan terbaik masyarakat Sarawak untuk melihat kekuatan dan izzah Islam. Slogan “PAS For All” menggambarkan bahawa ia sangat relevan untuk masyarakat di Sarawak ini kerana Islam itu bersifat adil dan rahmat kepada semua.Saya melihat, usaha dakwah terus berjalan. Suara PAS kian boleh diterima oleh ahli masyarakat termasuk yang bukan Islam. Di Sarawak ini kita lebih mengambil pendekatan dakwah fardiyah dan melalui NGO-NGO dakwah yang kita wujudkan sebelum mendekati masyarakat melalui parti politik. Ini memudahkan ahli masyarakat mendekati kita dan tidak fobia dengan parti. Sedikit demi sedikit ahli masyarakat kenal kita sebagai badan dakwah dan tarbiyah bukan sekadar parti politik semata-mata.
Apakah halangan, kekangan dan cabaran yang dihadapi dalam mengembangkan Islam di sini?
Sebagaimana yang kita maklum, jumlah masyarakat Islam di Sarawak ini adalah sangat minoriti, hanya lebih kurang 30 peratus sahaja daripada keseluruhan penduduk Sarawak ini. Oleh itu sedikit sebanyak sudah pasti,kita akan berhadapan cabaran terutama dari penganut-penganut agama lain. Mengikut Perlembagaan Malaysia sendiri, Islam bukanlah agama rasmi bagi negeri Sarawak sebagaimana negeri-negeri lain di Semenanjung. Maka sedikit sebanyak, ia akan memberi impak yang besar kepada badan-badan dakwah untuk bergerak ke seluruh pelusuk negeri sama ada dari aspek peruntukan kewangan yang sangat minimum dan juga kesukaran kita untuk mendapat sokongan yang padu daripada pihak-pihak berkuasa agama tempatan.Selain itu,kita juga berhadapan cabaran dari segelintir umat Islam sendiri yang masih mengamalkan adat resam dan kepercayaan karut marut yang diwarisi daripada warisan nenek moyang mereka terdahulu
Apakah usaha-usaha yang Dewan Ulama lakukan dalam mengembangkan Islam di Sarawak?
Saya petik firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 88 iaitu “...(berkata Syuaib kepada kaumnya) Aku tidak bermaksud menyalahi kamu terhadap perkara yang larang kamu daripadanya. Aku hanya berniat ingin mendatangkan perbaikan (islah) di kalangan kamu sekadar yang aku mampu. Dan tidak ada petunjuk yang aku ikuti melainkan (ianya) daripada Allah. Kepada-Nya aku berserah diri(bertawakkal) dan kepada-Nya pula nanti aku akan kembali”. Jadi, tanggungjawab PAS tidak lain dan tidak bukan ialah meneruskan risalah para Nabi. Kita berusaha menyampaikan Islam dengan mendidik masyarakat menghayati Islam yang sebenar yang bersifat syumul(lengkap dan menyeluruh). Bukan bermaksud mereka tidak cukup Islam, tetapi kita perlu melakukan islah. Islah bermaksud meningkatkan kualiti umat kepada beramal dan menghayati ajaran Islam dengan lebih sempurna.Cabaran pertama kita ialah bagaimana kita mampu membawa masyarakat memahami tuntutan Allah dan menghayatinya dalam setiap aspek kehidupan mereka. Kita mahu mereka bukan hidup dalam lingkungan budaya dan adat resam, tetapi mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Islam yang syumul bukan sekadar menunaikan solat, puasa, zakat dan haji sahaja tetapi melaksanakan Islam dalam seluruh kehidupan termasuk ekonomi dan politik. Kita (Dewan Ulama) berusaha meningkatkan kefahaman masyarakat melalui pengembangan ilmu agama. Sudah tentulah masjid dan surau menjadi fokus utama Dewan Ulama. Masjid dan surau boleh hanya sebagai tempat solat sahaja. Ia mesti menjadi pusat pembangunan ilmu dan tugas ini perlu dimainkan oleh semua ahli PAS. Mereka perlu berada di masjid dan surau, berjamaah dan berdampingan dengan masyarakat. Kita berpendapat masjid adalah medan asas membetulkan pemikiran masyarakat untuk menghayati Islam yang sebenarnya. Ahli-ahli PAS bukan sekadar mampu bercakap dalam pelbagai isu masyarakat tetapi mesti juga seorang yang baik dan soleh. Komitmen kepada berjamaah, dalam masa yang sama mampu mendidik ahli menjadi seorang yang wala dan taat kepada pemimpin.
Adakah PAS berjaya dilihat sebagai pihak yang penting dalam membawa Islam di sini?
Cabaran utama kita ialah untuk memecahkan fobia masyarakat kepada PAS dan memperbetulkan keyakinan mereka bahawa hanya BN sahaja yang mampu memerintah. Sedangkan hakikatnya Islamlah yang lebih baik kepada mereka yang mampu memimpin mereka kepada kehidupan yang selamat di dunia dan akhirat.Justeru, tanggungjawab kita yang paling utama ialah PAS perlu dilihat lebih baik daripada apa yang dibuat oleh kerajaan BN hari ini, setiap ruang yang ditinggalkan oleh kerajaan mesti direbut sebaik mungkin untuk meyakinkan masyarakat supaya menerima PAS sebagai wadah perjuangan dan meninggalkan perjuangan kebendaan yang rapuh. Peranan kita ialah melengkapkan kelompongan dan kepincangan kerajaan sekarang. Jika ini mampu kita realisasikan sudah pasti masyarakat Islam khususnya dan masyarakat Sarawak secara umum, akan mudah menerima kita. Masalah sosial dalam masyarakat ternyata gagal ditangani oleh pemerintah kerana mereka lebih banyak mengajak rakyat kepada hiburan dan pembangunan fizikal sahaja. Sedangkan keperluan hidup rakyat lebih daripada itu. Mereka mesti dididik dari segi minda dan jiwa mereka.PAS mesti dilihat sebagai sebuah parti yang mampu membawa perubahan kepada masyarakat. Jika masyarakat dapat lihat kita lebih baik, mengapa mereka harus takut untuk menyokong dan bersama perjuangan kita. Inilah usaha yang sedang kita lakukan sekarang ini.Hari ini kita lihat janji-janji kerajaan BN untuk membawa kemajuan kebendaan sudah mula dipertikaikan rakyat. Kemajuan kebendaan sahaja tidak mencukupi, rakyat perlu didampingi dan merasai jiwa mereka terdidik. Peranan Dewan Ulama ialah memangkinkan PAS sebagai wadah dakwah yang berkesan dan meyakinkan.
Secara khusus, apakah usaha yang Dewan Ulama laksanakan?
Antara usaha kita ialah, pertama, membetulkan perkara asas agama bukan sebagai budaya tetapi cara hidup yang lengkap merangkumi ibadah,muamalah,ekonomi,jenayah dan termasuk juga aspek politik. Inilah fokus utama kita. Kedua, marhalah dakwah kita masih diperingkat ta'arif(pengenalan) dan marhalah bina'(pembinaan diri). Maka kita perlu memperlihatkan bahawa kita adalah pembawa kebaikan melalui Dakwah Bil Hal(dakwah melalui teladan) dan bukan penghukum kepada mereka.Akhirnya, PAS hari ini kian diterima oleh masyarakat sama masyarakat Islam atau pun bukan Islam. Pendekatan kita yang lembut dan berhati-hati sesuai dengan budaya Sarawak yang hidup harmoni dengan pelbagai kaum dan agama boleh tinggal dalam satu rumah; Jika kita mampu menyelami hati budi masyarakat setempat, insya-Allah PAS akan terus relevan dan akan bertapak kukuh di negeri Sarawak ini.-PAS.ORG.MY
Post a Comment