PULAU BRUIT— Setiap wakil rakyat Barisan Nasional (BN) perlu mengambil serius teguran Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem yang tidak mahu mereka malas turun padang untuk meninjau masalah rakyat. Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abdullah Saidol berkata, teguran itu adalah bukti ketegasan Ketua Menteri dalam memastikan wakil rakyat melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing masing dengan bersungguh –sungguh.
Menurutnya, amanat itu juga pencetus motivasi, merangsang semangat kerja wakil rakyat bagi membolehkan mereka diterima secara menyeluruh oleh rakyat.
“Ketua Menteri memperkenalkan budaya kerja yang berintegriti. Ini bermakna, beliau mahu wakil rakyat lebih peka dengan permasalahan rakyat. Beliau mahu wakil rakyat rajin melawat kawasan. Tidak semua permintaan rakyat dapat ditunai dengan serta merta tetapi mesti ada kerajinan. “Saya menyeru kepada rakyat, kalau nak marah, jangan marah pada BN atau PBB, tetapi marahlah wakil rakyat yang malas, sombong dan tidak tahu buat kerja. Jangan singkir sokongan pada BN tapi singkirlah wakil rakyat yang tidak membawa kesan itu.
Saya mohon kepada Ketua Menteri supaya wakil rakyat seperti itu (malas turun padang) ditukar. Mesej itu termasuklah untuk diri saya sendiri. “Rakyat akan rugi kalau wakil rakyat gagal mewakili dan menterjemahkan kepentingan rakyat dengan baik. Tidak ada wakil rakyat yang berani menjanjikan kesempurnaan dalam tugas mereka tetapi setiap wakil rakyat mesti menjanjikan kesungguhan, kerajinan dan keprihatinan,” katanya pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri bersama rakyat di Kampung Paloh di sini, semalam.
Pengerusi Kelab Penyokong BN Sarawak (BNBBC) ini mengingatkan rakyat agar tidak mudah terkeliru dengan parti pembangkang yang hanya bijak menabur janji namun hakikatnya hanya kosong. Beliau mahu rakyat memberikan sokongan dan kerjasama tanpa berbelah-bahagi untuk memastikan kemenangan besar BN sekali gus meneruskan pelbagai agenda pembangunan yang dirancang sebelum ini.
“Kita bertuah kerana Ketua Menteri sering bercakap tentang pembangunan luar bandar. Beliau mahu semua wakil rakyat luar bandar bekerja keras kerana hasratnya ingin merapatkan jurang keselesaan antara bandar dan pedalaman. “Selain itu, beliau begitu lantang dan tegas bercakap tentang kepentingan, hak Sarawak untuk mendapat peruntukan lebih daripada kerajaan Persekutuan. Beliau juga bercakap tentang hak autonomi pentadbiran lebih baik untuk Sarawak. Ini amat jelas dalam diri ketua menteri, ada Sarawak dalam jiwa dan ada rakyat dalam hati beliau, ” katanya.
Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Neger i (ADUN) N.36 Semop menyahut baik cadangan kerajaan untuk membangunkan Kuala Paloh sebagai zon pembinaan kapal sambil berharap projek itu akan memberi impak positif ke atas pembangunan di kawasan berkenaan.
Pada majlis yang sama, beliau mengumumkan peruntukan untuk Skuad Sayang Wanita, Pemuda PBB dan Saberkas Paloh, Kedang Berangan yang masing-masing menerima RM3,000 untuk menjalankan aktiviti sempena sambutan kemerdekaan. Serentak itu katanya, Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rajang juga menghulurkan sumbangan RM20,000 kepada Jawatankuasa Masjid Kampung Paloh baru-baru ini.
“Sehubungan itu, saya mahu jawatankuasa masjid yang menerima peruntukan ini mengemukakan laporan berhubung aktiviti mereka. “Saya juga mengumumkan peruntukan untuk membina dewan Kampung Berangan juga sudah diluluskan. Kita sedang berusaha menaiktarafkan dewan masyarakat Kampung Paloh di samping cuba untuk mendapatkan kerjasama pihak syarikat komunikasi supaya rakyat di sini mendapat liputan yang sewajarnya,” jelasnya.-Utusan Sarawak Online
Post a Comment