Perlu kerja keras kekal gelaran Bumi Kenyalang


Kerajaan, agensi berkaitan, NGO perlu laksana resolusi dilulus Persidangan Enggang Kebangsaan 2015

MIRI: Jika negeri ini mahu terus memulihara dan mengekal gelarannya sebagai Bumi Kenyalang, maka kerajaan negeri dan agensi berkaitan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerja keras melaksanakan resolusi dilulus pada Persidangan Enggang Kebangsaan 2015.

Sebanyak 14 resolusi berkaitan dengan usaha pemuliharaan, habitat, biologi, ekosistem, budaya, pelancongan dan kesedaran yang berkaitan dengan spesies burung enggang di negeri ini, telah dibentang dan diluluskan pada persidangan tersebut, yang turut membentangkan 26 kertas kerja berkaitan dengannya.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berharap pakar burung enggang dan profesional dalam bidang pemuliharaan akan terus menjalin kerjasama dengan Sarawak Forestry Corporation (SFC) bagi membantu negeri ini yang masih kurang inisiatif dalam pemuliharaan spesies burung enggang.

“Dalam hal ini saya ingin menyatakan bahawa bagi mencapai objektif di atas, kita perlu menerima hakikat bahawa kita akan bekerja dan belajar daripada yang terbaik,” katanya.

Lee memberitahu demikian semasa berucap merasmikan penutupan Persidangan Enggang Kebangsaan 2015 yang bermula Selasa lalu dan berakhir semalam, di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Persidangan kali ini bertemakan ‘Hornbill Survival in Fragmented Landscape’ dan dihadiri lebih 50 pakar dan profesional dalam dan luar negara termasuk dari SFC, membincangkan mengenai cabaran pemuliharaan burung enggang dan perlindungannya dalam era pembangunan ekonomi yang pesat di Malaysia dan tempat-tempat lain di Asia Tenggara.

Lee dalam ucapannya memberitahu, di sebalik perkembangan dan pembangunan ekonomi, negeri ini juga perlu memanfaatkan sumber asli dan sumber-sumber lain termasuk tanah dan hutan-hutannya ke arah kejayaan usaha pemuliharaan, khususnya hidupan liar yang terancam seperti enggang.

“Justeru cabaran kita adalah untuk mencari keseimbangan yang betul antara pembangunan dan pemuliharaan, agar kita terus menikmati keindahan khazanah negeri ini, di sebalik pembangunan yang dikecapi.

“Saya yakin bahawa persidangan ini telah mencapai kesepakatan dalam menerima pakai resolusinya dan menemukan beberapa strategi dan kaedah untuk mencapai keseimbangan khususnya burung enggang,” tambahnya.

Turut hadir Timbalan Pengurus Besar SFC merangkap pengerusi penganjur Oswald Braken Tisen serta Pengarah Institut Pemuliharaan Alam Sekitar dan Biodiversiti UNIMAS Profesor Dr Andrew Alex Tuen yang juga pengerusi bersama persidangan tersebut.

Pada majlis yang sama Lee turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Mereka Cipta Logo Persidangan Enggang Antarabangsa Ke-7, 2017, iaitu Hanniel Yabuku yang berasal dari Nigeria namun belajar di Curtin University Kampus Sarawak di sini.

Beliau menerima hadiah berupa sijil dan wang tunai RM1,000 manakala logonya akan diguna pakai pada persidangan tersebut yang akan diadakan di Sarawak.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget