Pengguguran Jabu beri harapan untuk TKM baru dan isu Salcra



FOKUS SARAWAK: Pengumuman Ketua Menteri dan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Adenan Satem baru-baru ini bahawa beberapa Adun dan muka “lama” akan digugurkan dalam pilihanraya negeri akan datang telah mencetuskan minat dan rasa ingin tahu di kalangan ahli Pesaka dalam PBB serta orang ramai.

Mereka ingin tahu sama ada timbalan ketua menteri dan Adun Layar Alfred Jabu; Adun Machan Gramong Juna dan Adun Katibas Ambrose Blikau adalah antara yang dimaksudkan.

Pengundi di Layar terutamanya tertanya-tanya apabila mereka mendapat tahu bahawa wakil rakyat mereka telah merayu kepada ketua menteri agar memberikannya satu penggal lagi, walaupun telah menjadi Adun di sana lebih 40 tahun.

“Kami tertanya-tanya sama ada Jabu akan digugurkan atau tidak,” kata seorang pengundi yang tidak ingin mendedahkan namanya.

Katanya, mereka juga ingin tahu siapakah yang akan menggantikan Jabu sebagai Adun mereka dan timbalan ketua menteri.

Namun cakap-cakap di kedai kopi dan rumah panjang di Betong menyebut anak Jabu – Gerald Rentap dan Barbara Dubah.

Kemungkinan Barbara yang akan menggantikan Jabu memandangkan beliau sering menemani bapanya dalam lawatan ke rumah panjang.

Siapa yang bakal menjadi calon di Layar tidak penting berbanding pengganti Jabu sebagai timbalan ketua menteri.

Menurut perjanjian penggabungan antara Parti Pesaka dan Parti Bumiputera, jika ketua menteri daripada Parti Bumiputera maka timbalannya harus datang daripada Parti Pesaka.

Parti Pesaka Anak Sarawak ditubuhkan oleh para penghulu di Batang Rajang pada Ogos 1962, dan bergabung dengan Parti Bumiputera pada Januari 1973.

Selain Jabu, ada lapan wakil rakyat Dayak dalam PBB.

Michael Manyin adalah yang paling senior dan satu-satunya menteri penuh Sarawak.

Selebihnya adalah menteri muda, seperti Stephen Rundi, Gramong Juna dan Richard Mulok.

Adakah Adenan akan memilih Manyin sebagai pemimpin Pesaka yang akan menjadi timbalan ketua menteri?

Pelantikan Manyin – seorang Bidayuh – boleh mencetuskan rasa kurang senang di kalangan ahli Iban dalam sayap Pesaka dan membuatkan mereka rasa dipinggirkan.

Ini kerana timbalan ketua menteri biasanya adalah pemimpin Iban.

Adenan perlu berhati-hati agar tidak melanggar persetujuan itu kerana ia boleh membawa kepada rasa tidak puas hati dan keretakan dalam PBB.

Masih ingat kekalahan Adenan ketika merebut jawatan timbalan presiden PBB pada 1998?

Walaupun beliau mendapat sokongan kuat ketua menteri ketika itu, Abdul Taib Mahmud, Adenan tetap tewas kepada Abang Johari Tun Openg yang mendapat sokongan ahli Iban.

Soalan seterusnya: Adakah Adenan akan melantik timbalan ketua menteri di kalangan menteri muda – Rundi, Juna atau Mulok?

Ia tidak mustahil kerana pelantikan menteri memang menjadi hak ketua menteri.

Di antara mereka, Juna adalah menteri muda paling senior yang telah bertugas di pelbagai kementerian selama 36 tahun.

Menurut ahli keluarga dan rakannya, Juna tidak menawarkan diri sebagai calon bagi DUN Machan.

Tetapi ia boleh berubah jika beliau dipilih untuk menggantikan Jabu.

Tidakkah anda rasa pelik jika ketua menteri dipilih di kalangan menteri muda?

Ini bukan persoalan kemampuan mereka, tetapi tentang hirarki dan kekananan.

Justeru sebahagian ahli PBB mencadangkan agar MP Betong dan menteri persekutuan Douglas Uggah meletakkan jawatannya dan bertanding dalam PRN akan datang.

Beliau boleh dikatakan tokoh yang paling layak untuk menjadi timbalan ketua menteri ekoran pengalaman luasnya di peringkat persekutuan.

Tetapi jika beliau meletakkan jawatan, maka seorang lagi tokoh Dayak dalam PBB harus dilantik bagi menggantikannya.

Pengganti boleh dipilih antara timbalan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah dan timbalan menteri tenaga, teknologi hijau dan air James Dawos Mamit.

Jika Jabu tetap dicalonkan dalam PRN akan datang, beliau barangkali akan mengekalkan portfolionya selaku pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra).

Beliau telah menjadi pengerusi lembaga itu berdekad lamanya, tetapi tiada apa pun yang berubah.

Malah ada kebimbangan di kalangan lebih 22,500 peserta skim Salcra yang keadaan ladang kelapa sawit mereka akan kian memburuk.

Skim Salcra sepatutnya memperbaiki kehidupan peserta tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kebanyakannya hidup dalam kesusahan dan kemiskinan kerana dividen yang diberi terlalu rendah untuk membolehkan mereka hidup dengan selesa dan wajar.

Menurut peserta, di bawah pengurusan sekarang, sebahagian besar pendapatan daripada skim itu – yang berasal daripada wang peserta sendiri – digunakan untuk membayar gaji pegawai Salcra dan pinjaman dan bayaran pengurusan untuk membina ibu pejabat Salca, menyebabkan hanya sedikit yang tinggal untuk diagihkan kepada mereka.

Satu lagi perkara yang menyebabkan prestasi buruk Salcra ini adalah konflik serius berhubung pengendalian skim tersebut antara Jabu dan Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Dr James Masing.

Salcra adalah salah satu agensi tanah di bawah Masing, namun beliau enggan mempunyai apa-apa kaitan dengannya selagi Jabu kekal sebagai pengerusi.

Masing sudah pun membuat rungutan kepada bekas ketua menteri Abdul Taib Mahmud dan kini kepada Adenan, mengatakan yang tangannya terikat dan tidak dapat membantu peserta skim selagi Jabu masih berada di dalamnya.

Apa yang perlu segera dibuat adalah mengubah suai seluruh struktur skim Salcra dan membuang sebahagian daripada pengikut Jabu dalam pentadbirannya.

Ini hanya boleh dilakukan apabila Jabu tidak lagi bertanggungjawab ke atas Salcra.

Itulah sebabnya mengapa ramai yang ingin tahu sama ada Jabu akan digugurkan daripada bertanding dalam PRN akan datang.-The Ant Daily (Joseph Tawie)

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget