Militan IS : Hishammuddin sahkan 5 lagi anggota ATM ditahan



KOTA BHARU- Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien, mengesahkan lima orang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan kerana mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Islamic State (IS).

Beliau berkata, kesemua mereka ditahan oleh pasukan cawangan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dua hari lalu di negara ini.

Katanya, sehingga hari ini sebanyak 11 tangkapan dibuat dengan membabitkan anggota ATM.

“Semua yang ditangkap merupakan anggota ATM yang berpangkat rendah dan saya tidak boleh mendedahkan dengan lebih lanjut tanpa mendapat persetujuan daripada pihak penyiasat.

“Siasatan masih berjalan dan penglibatan mereka tidaklah serius yang boleh menyebabkan keselamatan negara tergugat. Namun begitu, kita tetap mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kota Bharu di Bangunan Umno di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia mengikuti rapat perkembangan yang berlaku di Syria kerana dikhuatiri ada anggota ATM yang terlibat.

Katanya, ATM sudah mengambil tindakan proaktif bagi memastikan apa yang berlaku di negara luar, tidak berlaku di negara ini.

“Perkara yang membabitkan IS merupakan satu fenomena yang kita kawal rapi dan kita bekerjasama rapat dengan agensi risik dunia.

“Ini kerana tidak ada negara yang terkecuali mendapat sentuhan IS dan saya bimbang jika tindakan tidak tegas tidak diambil fenomena ini akan menular dalam masyarakat kita, sekali gus membawa padah pada negara.

“Saya sebagai Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan 10 negara Asian telah membuat pendirian bulat tidak akan sekali-kali menyokong mahupun membenarkan IS menular dirantau ini dan setiap negara mengambil tindakan masing-masing supaya ianya tidak bertapak di sini,”

Dalam perkembangan lain, Naib Presiden Umno itu berkata, Malaysia mengikuti rapat perkembangan pengeboman yang berlaku di kuil Erawan di Bangkok Thailand.

Katanya, beliau sudah berhubung dengan Menteri Pertahanan Thailad, Jeneral Prawit Wongsuwan bagi mengetahui perkembangan siasatan.

“Kita mahu tahu apa yang berlaku di sana dan mempunyai risiko atau tidak terhadap negara kita sendiri dan Prawit bersetuju untuk menyalurkan maklumat serta hasil siasatan kepada kita,” katanya.-Rakyat News

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget