Masyarakat Melayu Sarawak jangan berpecah

Perpecahan sudah berlaku di Semenanjung kerana interpretasi UMNO, PAS terhadap Islam


KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengingatkan masyarakat Melayu di negeri ini supaya tidak berpecah disebabkan interpretasi atau tafsiran Islam.

Katanya, perpecahan dalam kalangan kaum berkenaan sudah berlaku di Semenanjung disebabkan perkara seperti itu yang melibatkan kumpulan Melayu UMNO dan PAS.

“Di Malaya, orang Melayu berpecah kerana macam-macam interpretasi Islam… ada UMNO, PAS.

“Kita di Sarawak jangan mengikut mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Samarindok Aidilfitri 2015 anjuran Amanah Kebajikan Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di sebuah hotel terkemuka di sini, kelmarin.

Menurut Adenan, masyarakat Melayu Sarawak sudah mengecapi perpaduan yang erat sejak sekian lama dan mengamalkan sikap liberal terhadap Islam.

“Islam menyatupadukan kita di Sarawak,” katanya.

Selain itu, beliau juga berharap agar masyarakat Melayu di Sarawak dapat mengatasi apa sahaja cabaran masa depan terutama dari segi sosial.

Tegas beliau, masyarakat Melayu sama ada di Sarawak dan juga seluruh negara kini diselubungi dengan masalah sosial yang serius berbanding dengan kaum-kaum lain.

“Dadah, orang Melayu ‘champion’ dan begitu juga perceraian, perpecahan keluarga yang kita hadapi sekarang.

“Memang kaum lain ada juga begitu tetapi orang Melayu paling banyak,” katanya.

Dalam pada itu, Adenan juga menyeru masyarakat Melayu di negeri ini supaya menitikberatkan pendidikan teknikal agar mampu bersaing dalam cabaran masa depan yang akan lebih menjurus pada bidang perindustrian.

“Pendidikan teknikal harus menjadi budaya kita kerana perindustrian semakin ke depan dan ia memerlukan pendidikan teknikal.

“Jangan hanya fikir untuk bekerja di pejabat sahaja. Sikap ini mesti dihapuskan supaya masyarakat kita dapat terus bersaing dan mengekalkan kedudukan di dalam negara dan luar negara,” katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget