Pengundi mahu calon ganti Mauh anak jati Zon Selangau dan Lemai



SIBU: Rakyat di peringkat akar umbi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin mahu calon menggantikan wakil rakyat sedia ada, Datuk Joseph Mauh Ikeh adalah anak jati dari kawasan Zon Selangau dan Lemai.

Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin iaitu Timorthy Takin Balong berkata, ini adalah atas permintaan rakyat dari peringkat akar umbi seperti tuai rumah dan sebagainya di kawasan N.52 DUN Tamin.

“Saya bekerja di Pusat Khidmat ADUN Tamin di Selangau sering mendengar permintaan tersebut kerana banyak rakyat berkunjung ke pusat kami bertanyakan mengenai persaraan Mauh.

“Ada antara mereka masih mahu Mauh terus menjadi ADUN Tamin dan banyak juga menghormati keputusannya. Rakayt mahu calon baharu mengganti Mauh adalah anak jati Selangau dan Tamin. Itulah saya dengar,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Takin berkata, selain itu, calon baharu kelak memiliki beberapa kriteria seperti berpendidikan, peramah, mesra rakyat dengan pelbagai lapisan umur, jujur, berwawasan, rajin turun padang, melawat penduduk rumah panjang sama ada pada majlis kematian ataupun ada penduduk yang jatuh sakit serta orang lama dalam parti.

Jelasnya, apa mereka mahukan adalah orang popular di DUN Tamin serta berpengaruh dalam politik lebih-lebih lagi banyak menyumbang kepada kejayaan jentera parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas.

“Apa yang penting, calon mestilah taat setia dengan parti sejak dari Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) hinggalah ke penubuhan Parti Rakyat Sarawak (PRS),” ujarnya sambil menegaskan kenyataannya ini adalah bagi mewakili suara rakyat yang didengarnya di kawasan Tamin dari peringkat akar umbi.

Sementara itu, seorang lagi pengawai khas kepada ADUN Tamin iaitu Henry Ibat Lidang berkata, calon baharu itu nanti mestilah anak jati dari kawasan Selangau dan Lemai kalau mengikut satu perjanjian kongsi kuasa yang dibuat pada tahun 80-an oleh veteran politik ataupun wakil rakyat terdahulu dalam memilih serta menentu siapa wakil rakyat kawasan Selangau.

Di Selangau, katanya, ada dua zon iaitu Zon Siong, Tamin dan Skuau manakala satu lagi zon merangkumi Zon Selangau dan Lemai yang diguna pakai sejak dari dahulu lagi dalam menentu atau memilih calon wakil rakyat.

“Saya masih ingat lagi semasa persefahaman ini dicapai dahulu di mana jika Ahli Parlimennya adalah anak jati dari Zon Siong, Tamin dan Skuau manakala ADUN pula mestilah anak jati dari Zon Selangau dan Lemai.

“Walaupun perjanjian atau persefahaman kongsi kuasa ini tidak dibuat menerusi perjanjian bertulis atau secara rasminya namun perkara ini sudah diketahui ramai khususnya rakyat di kawasan DUN Tamin.

“Perjanjian atau persefahaman ini melibatkan pembahagian zon iaitu Siong, Tamin, Skuau, Selangau dan Lemai. Memandangkan Ahli Parlimen Selangau sekarang adalah dari Zon Siong, Tamin dan Skuau jadi ADUN baharu kelak mestilah anak jati dari Zon Selangau dan Lemai,” jelasnya lagi.-Utusan Borneo
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget