Wanita BN harap lebih ramai wanita dicalonkan pada PRN Sarawak


BALIK PULAU – Wanita Barisan Nasional (BN) berharap lebih ramai pemimpin sayap itu diberikan peluang menjadi calon dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak kali ini.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pihaknya percaya kepimpinan BN di peringkat Sarawak yang ditunjangi Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem akan mempertimbangkan hasrat tersebut.

“Kita serahkan kepada pucuk pimpinan dalam membuat ketetapan calon, namun saya percaya akan lebih ruang diberikan kepada sayap Wanita kali ini.

“Malah setakat ini, kepimpinan Ketua Menteri dalam memacu BN dan Sarawak dilihat amat disenangi dan menerima maklum balas positif daripada rakyat Sarawak yang majoritinya terdiri daripada pengundi wanita,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skuad An-Nur Wanita UMNO negeri di Dewan Utama Maktab Rendah Sains Mara Balik Pulau di sini semalam.

Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud semalam bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 11 April ini selepas menandatangani pengisytiharan pembubaran DUN negeri itu hari ini.

Dalam pada itu, Shahrizat berkata, jentera Wanita BN tidak akan leka dan sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga untuk memastikan kemenangan berpihak kepada parti dalam pilihan raya tersebut.

Menurutnya, sayap Wanita akan tetap menjadi tulang belakang BN dalam pilihan raya itu dan sudah lama bersedia membantu parti.

Sementara itu, mengulas peran­cangan Skuad An-Nur, Shahrizat berkata, Wanita UMNO akan me­nubuhkan Skuad Rakan Mahkamah Syariah bagi membantu wanita-wanita yang bermasalah dan perlu berhadapan dengan mahkamah.

Tambah beliau, Rakan Mah­kamah Syariah ini akan ditempatkan di semua Mahkamah Syariah di negara ini bagi memberi bantuan dan bertindak sebagai orang tengah kepada mereka yang memerlukan.

‘‘Kita akan lancarkan dalam masa terdekat, Insya-Allah sebelum hujung tahun ini dan sasaran kita adalah wanita yang kurang berkemampuan khususnya dari segi kewangan dan pengetahuan dalam prosedur mahkamah,’’ tegasnya.

- Utusan Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget