Setiausaha bahagian kewangan KBS hadapi 32 pertuduhan


KUALA LUMPUR - Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Otman Arsahd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 32 pertuduhan menyalah guna kedudukan dan membuat tuntutan palsu melibatkan nilai RM38.4 juta, empat tahun lalu.

Otman, 57, yang hadir dengan memakai baju T berwarna kelabu membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Dia didakwa atas 17 tuduhan membuat tuntutan palsu dan 15 pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagi pertuduhan membuat tun­tutan palsu, Otman didakwa memberikan 17 surat pembayaran melalui akaun kementerian mengandungi butiran palsu kepada Pengarah Bahagian Kewangan Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub, berhubung bayaran pelbagai program kementerian dan pembekalan peralatan kursus kementerian tersebut yang tidak pernah diadakan.

Dokumen pembayaran yang keseluruhannya didakwa berjumlah RM36.3 juta itu adalah melibatkan tiga syarikat milik rakannya, Enconic Corporation Sdn. Bhd., GPO Essence Sdn. Bhd. serta Gapa Jitu Sdn. Bhd.

Bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan pula, tertuduh didakwa telah menggunakan jawatannya untuk mengarahkan Ketua Pengarah MSN membuat bayaran kepada Dial Ex. Sdn. Bhd. iaitu syarikat yang dua anaknya, Arif Azuan dan Arif Azmin mempunyai kepentingan.

Pembayaran berkenaan adalah bagi menjalankan pelbagai program kementerian berhubung acara sukan antaranya program Futsal 2012 dan program sampingan Formula One (F1) 2013 melibatkan jumlah RM2.16 juta.

Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di pejabat Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, di sini antara 28 Februari 2012 dan 18 November 2015.

Pertuduhan membuat tuntutan palsu dikemukakan mengikut Seksyen 18(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala pertuduhan salah guna kedudukan dibuat mengikut Sek­syen 23(1) akta yang sama.

Kedua-dua seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Amir Nasruddin yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM1 juta bagi kesemua pertuduhan selain syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Namun, peguam Mohd. Farik Abdul Aziz yang mewakili tertuduh memohon agar jumlah itu dikurangkan kepada RM100,000 dengan alasan anak guamnya kini tiada sumber pendapatan.

“Anak guam saya hanya mampu menyediakan wang tunai sebanyak RM100,000 dan geran tanah seluas kira-kira 1.09 hektar sebagai cagaran,” katanya yang hadir bersama-sama peguam Datuk Izmal Kamal Ismail.

Allaudeen kemudian membenarkan Otman dibebaskan dengan ikat jamin RM250,000 berserta dua penjamin dan cagaran geran tanah tersebut bagi kesemua pertuduhan selain pasport diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Mahkamah turut menetapkan 21 April ini sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

- Utusan Online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget