SPR bermesyuarat selepas terima notis pembubaran DUN



KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas selepas menerima notis pemakluman rasmi mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak daripada speaker DUN mengenai tarikh pembubaran.

Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata mesyuarat khas berkenaan adalah untuk menentukan tarikh-tarikh penting seperti hari penamaan calon, hari undi awal, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain.

“SPR mengambil maklum pengumuman yang dibuat Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengenai tarikh pembubaran DUN Sarawak yang akan dibubarkan pada 11 April 2016.

“Sehubungan itu SPR akan menunggu notis pemakluman rasmi mengenai pembubaran DUN Sarawak daripada speaker DUN mengenai tarikh dan selepas menerima notis pemakluman rasmi, SPR akan mengadakan satu mesyuarat khas,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Tambah Hashim, SPR harus mengadakan pilihan raya tersebut dalam masa 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN dan maklumat lanjut mengenai urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan dibuat dari semasa ke semasa.

Sementara itu Pengarah SPR Negeri Datu Takun Sunggah berkata, dianggarkan seramai 21,000 petugas SPR dikenal pasti akan terlibat dalam PRN akan datang.

Beliau memberitahu, malahan taklimat kepada semua petugas berkenaan telah diselesaikan pada bulan lepas (Februari 2016).

“Kami telah kenal pasti 21,000 petugas dan taklimat bersama semua petugas telah diselesaikan dalam Februari 2016.

“Apa yang pasti semua pegawai pengurus di seluruh negeri sudah memulakan proses perolehan untuk pengangkutan dan logistik lain,” katanya melalui aplikasi WhatsApp kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Mengenai pengumuman pembubaran DUN oleh Ketua Menteri semalam, Takun berkata ia adalah menjadi hak Ketua Menteri untuk mendapat nasihat daripada Yang di-Pertua Negeri bagi memaklumkan pembubaran DUN.

Pengisytiharan pembubaran itu telah ditandatangani oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan diserah kepada Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar .

Mohamad Asfia kemudiannya akan memaklumkan kepada SPR yang diberi kuasa menetapkan tarikh bagi penamaan calon dan pengundian bagi siri PRN kali ini.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget