Polis menahan Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Shazni Munir Mohd Ithnin untuk disoal siasat berhubung kenyataan berbaur hasutan yang dikeluarkan minggu lalu.
Peguamnya, Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng mengesahkan beliau disoal siasat di Ibu Pejabat Polis shazni amanahDaerah Dang Wangi.
“Beliau telah ditangkap. Saya bersama beliau sekarang,” kata Lip Eng menambah bahawa Shazni ditahan jam 3 petang Isnin oleh pegawai-pegawai dari Bahagian D5 di Bukit Aman.
Shazni katanya, disiasat mengikut Seksyen 4, Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang didakwa berunsur hasutan yang kemudiannya diterbitkan dalam portal berita.
Shazni juga disiasat mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.
Seksyen 124C Kanun Keseksaan adalah berhubung “cubaan untuk melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen”, yang menetapkan hukuman penjara maksima 15 tahun.
Seksyen 4 (1) Akta Hasutan pula menetapkan denda maksima RM5,000 dan hukuman penjara maksima tiga tahun bagi pesalah kali pertama.
Dalam pada itu, Shazni membuat laporan polis di Balai Dang Wangi mendakwa artikel berita yang disiarkan itu adalah palsu dan petikan kenyataan itu bukan dibuatnya.
“Beliau membuat laporan itu setelah ditahan di Balai Dang Wangi,” kata Lip Eng.
Pada Sabtu, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman Twitternya mengarahkan unit jenayah siber polis menyiasat kenyataan Shazni yang menghasut orangramai menumbangkan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).-BNBBC
Post a Comment